
KANGAR – Belum reda kesedihan atas pemergian Sasterawan Negara, A. Samad Said, dunia kesusasteraan tanah air sekali lagi kehilangan seorang tokoh apabila Sasterawan Negeri Perlis, Abd Rahim Abdullah meninggal dunia pada usia 79 tahun hari ini.
Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Kota Warisan, Sepang, Selangor, kira-kira pukul 4 petang tadi.
Perkara itu disahkan oleh anak perempuannya, Ezlin Liyana Abd Rahim, 49, sebentar tadi.
Jenazah Allahyarham dibawa ke surau perumahan Warisan Indah kira-kira pukul 7.30 malam untuk disolatkan selepas solat Isyak.
Allahyarham dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Jannah, Masjid Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, malam ini.
Pemergian Abd Rahim berlaku hanya 17 hari selepas Allahyarham dinobatkan sebagai penerima sulung Anugerah Sasterawan Negeri Perlis 2026 di sini pada 12 November lalu.
Anak kelahiran Kampung Bohor Inai dekat sini itu merupakan bekas Pengarang Sastera dan Budaya Berita Harian serta pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Allahyarham mula berkarya sejak 1964 dan pernah meraih pelbagai pengiktirafan sepanjang lebih enam dekad pembabitannya dalam dunia kesusasteraan.
Antara pengiktirafan yang diterimanya termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia serta Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).
Pemergian kedua-dua tokoh itu merupakan kehilangan besar kepada dunia persuratan dan kesusasteraan Melayu.



