
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti cadangan pelaksanaan dua model pelesenan bagi mengawal selia platform e-dagang, membabitkan bidang kuasa suruhanjaya itu dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC bersedia melaksanakan rejim pelesenan berkenaan sekiranya diperlukan bagi memastikan platform e-dagang bertanggungjawab menangani isu kemudaratan dalam talian.
“Kita telah teliti dan melihat kepada undang-undang dan mungkin ke arah dua ‘licensing model’ yang mana pihak MCMC melesenkan untuk membantu memastikan perkara berkaitan kemudaratan dalam talian dapat diatasi oleh platform e-dagang.
“Manakala daripada segi kepenggunaan, itu yang akan dikawal oleh pihak KPDN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi penutupan Bengkel Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang Dalam Talian anjuran MCMC, di sini.

Mengulas mengenai penjualan produk terlarang secara dalam talian, Fahmi memberikan contoh vape yang mengandungi dadah dan menjelaskan bahawa penguatkuasaan terhadap kesalahan berkenaan turut membabitkan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“MCMC akan membantu memastikan beberapa perkara seperti contohnya, perkara itu mesti diturunkan dalam tempoh satu jam.
“Maksimum 24 jam sekiranya ia adalah barang yang bersifat agak ekstrem seperti dadah itu. Jadi, platform sudah faham dan mereka akan berikan kerjasama yang baik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, platform e-dagang antarabangsa termasuk Alibaba dan Temu turut menunjukkan kerjasama baik sepanjang bengkel berkenaan.
Katanya, kerjasama itu mencerminkan kefahaman platform terbabit terhadap pendirian serta keperluan yang ditetapkan kerajaan dalam menangani penjualan barangan dan perkhidmatan terlarang secara dalam talian.



