
KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan pelbagai saluran alternatif selain Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) bagi memastikan maklumat kecemasan sampai kepada penduduk di kawasan pedalaman dan lokasi yang mempunyai liputan telekomunikasi terhad.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, antara mekanisme yang digunakan termasuk pemasangan siren oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta unit siar raya menerusi inisiatif Info on Wheels oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).
Menurut jurucakap kerajaan itu, pendekatan berbilang saluran penting bagi memastikan penduduk tidak tercicir daripada menerima amaran, terutama di kawasan yang mengalami gangguan bekalan elektrik sehingga menyebabkan menara telekomunikasi tidak berfungsi.
“Di pihak JAPEN juga ada satu kemudahan disebut Info on Wheels, iaitu mereka akan pergi dengan unit siar raya untuk memberikan pemakluman sekiranya perlu, terutama di kawasan berpenduduk yang menghadapi masalah akibat kerosakan grid elektrik sehingga menara telekomunikasi tidak berfungsi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sesi penutupan Bengkel Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang Dalam Talian di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi akan mendapatkan maklumat menyeluruh berhubung keberkesanan ujian MySiren, termasuk tahap penerimaan notifikasi di kawasan luar bandar, pedalaman Sabah dan Sarawak serta lokasi titik buta telekomunikasi.
Katanya, hasil penilaian itu akan dibentangkan menerusi Nota Jemaah Menteri bagi memaklumkan pencapaian ujian serta isu yang dikenal pasti.
“Setakat ini baru tiga jam sejak ujian itu dijalankan dan saya akan menyediakan Nota Jemaah Menteri bagi memaklumkan hasil ujian hari ini, termasuk isu yang berbangkit seperti kawasan titik buta,” katanya.
Terdahulu, Fahmi memaklumkan notifikasi ujian MySiren diterima hampir serentak di beberapa lokasi yang memberikan maklum balas, termasuk Padang Besar di Perlis serta Pulau Sebatik dan Tawau di Sabah.
Maklum balas itu diperoleh secara langsung menerusi sesi bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Jabatan Penerangan ketika ujian serentak di seluruh negara.
MySiren merupakan sistem amaran awal yang menyalurkan maklumat kecemasan terus ke telefon bimbit pengguna menerusi teknologi siaran sel (Cell Broadcast System) tanpa memerlukan penghantaran SMS.



