
KOTA KINABALU – Program Explore Sabah berpotensi menjadi platform memperkenalkan keunikan budaya, gastronomi etnik, kraftangan dan produk tempatan kepada pelawat dalam dan luar negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif itu bukan sekadar mempromosikan destinasi pelancongan, malah berperanan mengangkat identiti masyarakat Sabah serta membuka peluang ekonomi kepada rakyat.
“Explore Sabah bukan sekadar satu inisiatif mempromosikan destinasi pelancongan.
“Lebih penting, ia merupakan usaha strategik untuk mengangkat keunikan Sabah, memperkenalkan identiti masyarakatnya dan menghubungkan kekayaan khazanah negeri ini dengan peluang ekonomi yang lebih luas,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai pada majlis pelancaran Explore Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Tambahnya,, kerajaan mahu sektor pelancongan bukan sahaja meningkatkan jumlah kunjungan pelawat, tetapi turut memberi manfaat ekonomi kepada usahawan kecil, peniaga tempatan dan komuniti luar bandar.
“Sabah mempunyai pelbagai tarikan pelancongan, termasuk keindahan alam semula jadi, pulau-pulau menarik, kekayaan budaya, makanan tradisional dan kraftangan yang mampu menawarkan pengalaman lebih bermakna kepada pelawat.
“Inilah pendekatan yang perlu kita perkukuh, iaitu menjadikan pelancongan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi yang turut melibatkan masyarakat di peringkat akar umbi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik inisiatif Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) bersama MSH Mega Tech Sdn Bhd memperkenalkan MAGEBS (SABAH) Smart Card sebagai pemudah cara digital bagi menyokong pelaksanaan Explore Sabah.
Menurutnya, transformasi digital perlu turut dimanfaatkan usahawan kecil, pengusaha kraftangan, penyedia makanan dan komuniti luar bandar bagi meningkatkan daya saing serta membuka akses kepada pasaran lebih luas.
“Saya berharap platform ini dapat membantu meningkatkan keterlihatan perniagaan tempatan, memperluas penyertaan usahawan dan membuka ruang kepada penerokaan pasaran baharu,” kongsinya
Beliau turut menggesa persatuan etnik supaya terus memelihara adat, bahasa dan seni warisan masing-masing bagi memastikan khazanah berkenaan terus diwarisi generasi akan datang.
“Kepada para usahawan dan peniaga, teruskan berinovasi, meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan serta berani meneroka pasaran baharu.
“Kepada golongan belia, manfaatkan teknologi sebagai wadah membina kemahiran, mencetuskan idea dan mencipta peluang ekonomi,” ujarnya.



