
KUCHING – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengesahkan sebanyak 168 kertas penamaan calon diterima dan layak bertanding di semua 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 tanpa sebarang pencalonan ditolak apabila tempoh penamaan ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
Daripada jumlah itu, beliau memaklumkan seramai 29 calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) disahkan menang tanpa bertanding dan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak ke-13, sekali gus menyaksikan tiada pertandingan diadakan di kesemua kawasan berkenaan.
“Sehubungan dengan itu, pengundi di DUN berkenaan tidak perlu hadir atau keluar mengundi pada Hari Mengundi,” katanya ketika sidang media Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2026.
Berdasarkan senarai rasmi yang dilampirkan dalam kenyataan beliau, 29 kerusi DUN yang dimenangi GPS tanpa bertanding merangkumi Tanjong Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong dan Sebuyau.
Turut dimenangi tanpa bertanding ialah kerusi DUN Lingga, Beting Maro, Engkilili, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kuala Rajang, Semop, Daro, Repok, Dalat, Tellian, Katibas, Bukit Goram, Bekenu, Lambir serta Bukit Sari.
Menurut Ramlan, baki 53 kerusi DUN yang dipertandingkan pula menyaksikan saingan dua penjuru di 29 kawasan, tiga penjuru di 15 kawasan dan empat penjuru di sembilan kawasan.
Mengikut pecahan pencalonan keseluruhan yang disahkan, beliau berkata GPS mengemukakan 82 calon diikuti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) seramai 29 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) (17), DAP (14), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (tiga) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) (seorang), selain 22 calon Bebas.
Dari segi demografi, jelasnya, seramai 154 calon lelaki dan 14 calon wanita mengambil bahagian dengan kelompok berusia 60 tahun dan ke atas mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 88 orang, diikuti julat umur 50 hingga 59 tahun (47), 40 hingga 49 tahun (18), 30 hingga 39 tahun (12) serta 18 hingga 29 tahun (tiga).
Beliau turut memaklumkan calon PBDS di DUN N.39 Krian, John Antau anak Linggang yang berusia 78 tahun merupakan calon tertua, manakala calon DAP bagi DUN N.54 Pelawan, Irene Wong Lee Ting, 24, menjadi calon termuda.
“Bagi 53 Bahagian Pilihan Raya Negeri, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan pada hari penamaan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam, 11 Disember 2026 (Jumaat),” katanya.
Bagi memantau semua aktiviti calon sepanjang tempoh tersebut, Ramlan berkata SPR menubuhkan 104 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) serta mengingatkan calon supaya mematuhi undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) termasuk larangan bahan kempen berunsur perkauman, menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan.
“SPR juga berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak membuka bilik gerakan 24 jam di Kompleks Pejabat SPRM, Jalan Laksamana Cheng Ho di sini sehingga 12 Disember ini melalui talian 082-467701/702 atau e-mel aduan.prnsarawak@sprm.gov.my, manakala Kementerian Komunikasi mengoperasikan tiga pusat media utama di Kuching, Sibu dan Miri selain 156 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai pusat media sokongan.



