
PENAMPANG – Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Kali Ke-12, Sabah 2026 bukan sekadar medan menguji keupayaan atlet, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan persahabatan dan persefahaman antara negara di rantau ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, semangat persahabatan yang menjadi asas penganjuran temasya itu perlu terus dipelihara meskipun persaingan dalam gelanggang telah berakhir.
“Penyertaan atlet dari Brunei Darussalam, Filipina dan Malaysia sepanjang temasya itu memperlihatkan semangat kesukanan, kerjasama berpasukan serta sikap saling menghormati antara peserta.
“Walaupun kita bertanding mewakili pasukan yang berbeza, kita berkongsi rasa hormat terhadap sukan dan antara satu sama lain.
“Semoga semangat saling menghormati ini terus kekal melangkaui gelanggang pertandingan serta memperkukuh hubungan antara masyarakat di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Kali Ke-12, Sabah 2026 di Dewan Hongkod Koisaan, Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang berjaya meraih pingat serta menghargai usaha dan komitmen setiap peserta yang telah mengharumkan nama pasukan masing-masing.
“Setiap atlet wajar berbangga dengan pencapaian dan pengalaman yang diperoleh sepanjang menyertai temasya berkenaan, sekali gus menjadikannya motivasi untuk terus meningkatkan prestasi pada masa hadapan,” ujarnya.
Terdahulu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai teknikal, pengadil, jurulatih, sukarelawan dan semua pihak yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran temasya berkenaan.
“Komitmen pegawai teknikal dan pengadil dalam memastikan keadilan serta integriti pertandingan amat penting bagi menjamin keyakinan atlet terhadap setiap keputusan yang dibuat,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau mewakili Kerajaan Negeri Sabah turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pasukan dan tetamu sepanjang berada di negeri ini.
Beliau berharap segala kenangan serta persahabatan yang terjalin sepanjang Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Kali Ke-12 akan terus berkekalan dan menjadi asas kepada hubungan lebih erat antara negara peserta.



