
KOTA KINABALU – Masyarakat tidak seharusnya berdiam diri atau menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi sesebuah keluarga, sebaliknya perlu tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui atau mengesyaki berlakunya penderaan terhadap wanita dan ahli keluarga.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, sikap mengambil tahu dan keberanian masyarakat untuk melaporkan kejadian sedemikian amat penting bagi memastikan mangsa tidak terus terperangkap dalam situasi keganasan tanpa mendapat perlindungan sewajarnya.
“Usaha membanteras keganasan rumah tangga bukan semata-mata tanggungjawab pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh lapisan masyarakat, termasuk ahli keluarga, jiran tetangga dan komuniti setempat.
“Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan sebanyak 951 kes keganasan melibatkan wanita di Sabah pada 2024, berbanding 911 kes pada 2025,” katanya ketika berucap pada Program Keluarga Sejahtera, Wanita Unggul sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Sedunia 2026 di Wisma Wanita, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, bagi kes keganasan rumah tangga pula, sebanyak 404 kes direkodkan pada 2024 sebelum menurun kepada 341 kes pada 2025.
Bagaimanapun, katanya, penurunan angka berkenaan tidak seharusnya menyebabkan masyarakat berasa lega atau menganggap isu keganasan rumah tangga semakin selesai kerana statistik yang direkodkan mungkin belum menggambarkan keadaan sebenar.
“Ini kerana masih terdapat mangsa yang memilih untuk berdiam diri dan tidak membuat laporan akibat ketakutan, rasa malu atau bimbang terhadap kemungkinan kesan yang bakal dihadapi sekiranya mendedahkan kejadian berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, angka yang direkodkan ini mungkin belum menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar kerana masih terdapat mangsa yang tidak berani tampil membuat laporan disebabkan rasa takut atau malu.
“Saya juga mengingatkan orang ramai bahawa tindakan melaporkan kes keganasan rumah tangga bukan hanya boleh dilakukan oleh mangsa, malah individu lain yang mempunyai sebab untuk mempercayai berlakunya keganasan turut boleh menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
“Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] menyediakan perlindungan undang-undang kepada mangsa, termasuk membolehkan pihak berkaitan mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan mereka terpelihara,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan mangsa atau individu yang mengetahui kejadian keganasan rumah tangga supaya mendapatkan bantuan melalui Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.
“Kesedaran mengenai saluran bantuan yang tersedia perlu terus dipertingkatkan supaya mangsa mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian dan mempunyai ruang untuk mendapatkan perlindungan serta sokongan,” terangnya.
Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Alijah Ismail serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail.


