
RAKYAT Malaysia diingatkan supaya tidak membiarkan dendam dan kebencian politik mengatasi kepentingan negara sehingga sanggup mengetepikan kestabilan, pembangunan ekonomi serta masa depan generasi akan datang.
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, perbezaan fahaman politik dan ketidaksukaan terhadap seseorang pemimpin tidak seharusnya menjadi alasan untuk menafikan segala usaha serta pencapaian yang membawa manfaat kepada negara.
Menurutnya, selepas empat tahun Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara, rakyat perlu membuat penilaian secara adil dan rasional terhadap perjalanan pentadbiran kerajaan.
Beliau mengakui masih terdapat pelbagai kelemahan yang perlu diperbaiki, termasuk isu kos sara hidup, pendapatan rakyat, peluang ekonomi dan usaha membanteras rasuah.
Bagaimanapun, katanya, kelemahan tersebut tidak bermakna segala usaha pemulihan ekonomi, pengukuhan keyakinan pelabur, pembaharuan tatakelola serta usaha mengangkat kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa perlu dinafikan.
“Kerajaan mesti terus ditegur, dikritik dan dipertanggungjawabkan. Namun, dalam kita menilai kekurangan, jangan pula kita menafikan segala usaha dan pencapaian yang telah dibina.
“Jangan kerana kita tidak menyukai seseorang pemimpin, kita hilang kemampuan untuk mengakui perkara baik yang berlaku kepada negara,” katanya dalam pesanan sempena ulang tahun keempat pentadbiran Kerajaan MADANI.
Mahfuz berkata, persaingan politik dalam sistem demokrasi merupakan perkara biasa, namun ia tidak seharusnya membawa kepada tindakan menggugat kestabilan negara atau merosakkan keyakinan pelabur.
Katanya, pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri merupakan sebahagian daripada proses demokrasi, tetapi kepentingan negara tidak boleh dijadikan mangsa perebutan kuasa.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak membiarkan kebencian politik membutakan pemikiran sehingga setiap pencapaian kerajaan ditolak semata-mata kerana ia dilakukan oleh pemimpin atau parti yang tidak disukai.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan penggunaan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan politik sebagai sesuatu yang membimbangkan kerana boleh merosakkan keharmonian masyarakat majmuk.
“Kita boleh mempertahankan kepentingan Melayu tanpa menghina kaum lain. Kita boleh mempertahankan Islam tanpa menanam kebencian terhadap agama lain.
“Kita mahu Melayu yang bermaruah, Islam yang dihormati dan Malaysia yang bersatu,” katanya.
Menurutnya, agama tidak seharusnya dijadikan perisai untuk melindungi kepentingan politik, manakala bangsa tidak boleh dijadikan senjata untuk menutup kelemahan kepimpinan.
Mahfuz berkata, Malaysia ketika ini turut berhadapan cabaran besar akibat persaingan kuasa besar, perang perdagangan, konflik antarabangsa, ketidakstabilan ekonomi, perubahan teknologi, ancaman keselamatan siber dan krisis makanan.
Justeru, katanya, negara memerlukan kestabilan politik, institusi yang kukuh, ekonomi berdaya tahan serta rakyat yang bersatu bagi menghadapi ketidaktentuan global.
Beliau mengingatkan bahawa rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa pertarungan kuasa politik, sebagaimana perumpamaan dua ekor gajah berlawan, rumput di bawahnya yang akhirnya musnah.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat supaya menilai prestasi kerajaan berdasarkan hasil kerja dan bukannya semata-mata sentimen kepartian.
Antara aspek yang perlu diberikan perhatian ialah pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, pendidikan, kesihatan, integriti, pembangunan luar bandar dan keadilan sosial.
“Jika kerajaan melakukan kebaikan, akuilah. Jika kerajaan melakukan kesilapan, tegurlah. Jika berlaku penyelewengan, tuntut tindakan.
“Jangan berikan kerajaan cek kosong, tetapi jangan juga menolak segala-galanya tanpa penilaian yang adil. Rakyat bukan penyokong membuta tuli. Rakyat ialah pemilik sebenar negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa masa depan Malaysia yang diwariskan kepada generasi akan datang perlu menjadi pertimbangan utama semua pihak, bukannya permusuhan politik yang berpanjangan.
Katanya, negara tidak seharusnya mewariskan kebencian antara kaum dan agama kepada anak-anak hanya kerana perbezaan pandangan politik pada hari ini.
Dalam pada itu, Mahfuz menegaskan Kerajaan MADANI dan Anwar sendiri bukanlah sempurna, malah masih banyak perkara perlu diperbaiki termasuk janji serta agenda reformasi yang perlu disempurnakan.
Beliau menggesa Perdana Menteri dan kerajaan supaya terus bekerja serta berani melaksanakan reformasi tanpa mengecewakan harapan rakyat.
Pembangkang pula, katanya, perlu meneruskan peranan semak dan imbang dengan mengemukakan kritikan serta alternatif yang membina, bukannya menjadikan fitnah, kebencian dan ketakutan sebagai modal politik.
Rakyat pula perlu menggunakan akal, menilai fakta dan tidak menyerahkan pemikiran kepada mana-mana parti atau pemimpin politik.
“Malaysia bukan milik Perdana Menteri, bukan milik UMNO, Pas, Amanah, DAP atau mana-mana parti. Malaysia ialah tanah air kita bersama.
“Berbeza pandangan tidak mengapa. Berbeza parti tidak mengapa. Tetapi jangan sampai kerana berbeza politik, kita kehilangan pertimbangan dan tanggungjawab terhadap negara,” katanya.
Beliau mengakhiri pesanan itu dengan mengingatkan bahawa dendam dan kebencian boleh diwarisi serta dipupuk, tetapi masa depan negara yang telah musnah bukan sesuatu yang mudah untuk dibina semula.
“Jangan kita mensia-siakan masa depan sebuah negara hanya kerana kita tidak dapat menerima hakikat siapa yang sedang memimpinnya hari ini. Malaysia rumah kita!”


