
SHAH ALAM – Pas Selangor yang menyokong keputusan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang berkecuali dalam undian Belanjawan Selangor 2027 sebagai tidak memahami isu sebenar.
Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor, Abbas Azmi berkata, keputusan berkenaan sepatutnya dinilai berdasarkan kepentingan rakyat dan keperluan negeri, bukannya ditarik ke dalam polemik politik kepartian.
Beliau yang juga ADUN Seri Serdang menegaskan belanjawan dengan peruntukan RM503.15 juta itu memberi tumpuan kepada permasalahan utama negeri, selain menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Daripada jumlah itu, RM36.45 juta diperuntukkan untuk tebatan banjir, RM19.38 juta bagi sistem saliran, RM25 juta untuk mitigasi banjir SMG dan RM17.9 juta bagi pembangunan serta pengurusan lembangan sungai.
“Selain itu, RM26 juta disediakan bagi projek Kolam Takungan Banjir Sungai Jati, Klang, manakala RM6.45 juta diperuntukkan untuk pembangunan pantai.
“Kerajaan negeri turut menyediakan RM6.63 juta bagi projek saliran mesra alam pada 2027 bagi memastikan pelaksanaan program mitigasi banjir berjalan lancar,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Mengulas lanjut, Abbas berkata, kawasan Ijok antara lokasi yang memerlukan perhatian serius susulan kejadian banjir, malah Menteri Besar telah beberapa kali turun padang dan mengarahkan tindakan segera bagi menangani masalah berkenaan.
Justeru, beliau mempersoalkan keputusan ADUN Ijok untuk berkecuali dalam undian belah bahagi, sedangkan usaha menangani banjir memerlukan kerjasama antara wakil rakyat dan kerajaan negeri.
“Apakah dengan mengambil sikap berkecuali, ADUN Ijok mampu melaksanakan segala usaha mitigasi banjir secara bersendirian?” soalnya.
Pada masa sama, Abbas turut membangkitkan persoalan mengenai usaha yang pernah dilaksanakan ketika wakil Pas memegang portfolio Exco Infrastruktur Awam sebelum ini.
Selain isu banjir, beliau turut mempersoalkan pendirian tujuh ADUN Pas yang berkecuali terhadap belanjawan berkenaan, termasuk peruntukan tambahan elaun kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Katanya, keputusan itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian mereka terhadap kepentingan masyarakat Melayu Islam yang sering dibangkitkan parti berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berpandangan ADUN pembangkang yang menyokong belanjawan berkenaan memahami keperluan untuk mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi kepentingan politik kepartian.

Abbas turut menjelaskan bahawa cadangan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) yang menjadi polemik ketika ini masih belum mempunyai keputusan muktamad.
Menurutnya, cadangan itu juga tidak mengubah kedudukan ADUN, sebaliknya hanya membabitkan persefahaman tertentu berkaitan urusan Dewan Negeri Selangor.
Beliau turut menyentuh isu pusat penyembelihan ayam yang diserbu pihak penguat kuasa susulan penemuan aktiviti penyembelihan yang diragui.
Katanya, pusat penyembelihan berkenaan sudah lama beroperasi di kawasan itu, termasuk ketika kawasan tersebut diwakili ADUN daripada PAS, namun isu berkenaan berjaya diselesaikan ketika beliau menjadi ADUN Seri Serdang.
Sehubungan itu, Abbas mengkritik wakil Pas yang didakwanya lebih banyak mengeluarkan kenyataan dan kritikan berbanding mengambil tindakan menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya menasihati Ketua Penerangan Pas Selangor supaya melihat diri sendiri di cermin sebelum menuding jari kepada orang lain,” katanya.
“Saya menyeru semua pihak agar meletakkan soal kepartian ke tepi apabila berhadapan dengan isu yang melibatkan kepentingan rakyat. Lihatlah permasalahan utama yang dihadapi rakyat hari ini,” katanya.


