Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN – Hasil royalti perlombongan mineral dikutip Kerajaan Pahang bagi tempoh 1 Januari hingga 24 November lalu meningkat kepada RM74.3 juta, berbanding RM63.4 juta tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, emas adalah penyumbang terbesar iaitu RM48 juta.
“Hasil royalti mineral lain ialah bijih besi RM20.1 juta, bauksit RM2.77 juta, silika RM1.54 juta, bijih timah RM1.29 juta, mangan RM640,000, galena RM14,700 dan kaolin RM8,400,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hasan Omar (Pas-Lanchang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut Wan Rosdy, industri hiliran mineral adalah antara sektor strategik yang diberi perhatian Kerajaan Negeri untuk meningkatkan nilai tambah sumber mineral dan memperkukuh sektor pembuatan negeri.
Bagi memastikan peningkatan hasil, kerajaan negeri meluluskan cadangan pembangunan kilang pengeluaran aloi mangan di Gebeng dengan nilai pelaburan kira-kira RM1 bilion.
“Cadangan yang diluluskan pada tahun ini dijangka mula beroperasi pada 2027 dan berpotensi menyokong rantaian bekalan industri besi dan keluli,” katanya.
Dalam industri emas pula, Pahang Gold Sdn Bhd, anak syarikat Pahang Mining Corporation sedang meneroka penghasilan jongkong emas dan barang kemas bagi meningkatkan nilai tambah sumber emas tempatan.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan dan sektor swasta bagi menarik pelaburan dalam aktiviti pemprosesan serta pengilangan produk berasaskan mineral.
“Ini termasuk memanfaatkan kemudahan infrastruktur dan kawasan perindustrian sedia ada seperti di Gebeng dan Kuantan,” katanya.



