Fadzli Mohamad Kamal
KUANTAN – Liputan 4G di kawasan berpenduduk di Pahang meningkat kepada 99.89 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding 89.10 peratus pada tempoh sama tahun 2020, hasil pelaksanaan Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, pencapaian itu perlu disusuli dengan peningkatan kualiti dan kestabilan perkhidmatan, khususnya di luar bandar.
“Saya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menyegerakan penyediaan perkhidmatan kelima-lima syarikat telco iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile dan Yes 5G di setiap menara telekomunikasi di seluruh Pahang.
“Langkah ini penting supaya rakyat bukan sahaja mempunyai liputan, tetapi turut menikmati pilihan perkhidmatan yang lebih luas dan berkualiti,” katanya, seperti dilapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Jenderak, Datuk Rodzuan Zaaba pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Bagi memperkukuh liputan luar bandar, MCMC membina 101 menara baharu melibatkan 35 menara di penempatan FELDA dan 66 menara di perkampungan Orang Asli.
MCMC bersama syarikat telekomunikasi turut melaksanakan pemantauan rangkaian berterusan, penyelenggaraan berkala, pengukuhan rangkaian sokongan, peningkatan kapasiti serta ujian kualiti di lokasi yang menerima aduan.
Kerajaan negeri juga mengadakan sesi libat urus bersama Pejabat ADUN, Pengarah dan Pengurusan FELDA serta komuniti setempat dari Februari hingga awal November lalu dan akan terus bekerjasama dengan MCMC bagi mengenal pasti kawasan yang masih memerlukan penambahbaikan, khususnya di penempatan FELDA dan Kampung Orang Asli.


