
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menuntut ganti rugi RM600 juta daripada Google menerusi dua saman berhubung dakwaan kegagalan syarikat teknologi itu menangani kandungan memudaratkan di platform YouTube.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, setiap saman membabitkan tuntutan RM300 juta yang merangkumi RM100 juta masing-masing bagi ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Saman pertama membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian dan penipuan yang didakwa melanggar peruntukan undang-undang serta syarat lesen selain melibatkan kecuaian.
Menurut MCMC, sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Oktober lalu, dengan 74,569 daripadanya atau 99.8 peratus berkaitan perjudian dalam talian.
Daripada jumlah itu, sebanyak 32,781 laporan menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan dalam tempoh sehari, manakala 4,950 laporan tidak menerima sebarang maklum balas.
“Sebanyak 35 laporan pula mengambil masa lebih daripada 90 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan manakala 1,468 laporan mengambil masa lebih daripada 30 hari dari tarikh laporan dikemukakan.
“Angka ini menunjukkan skala penyebaran kandungan yang memudaratkan di platform tersebut serta kelewatan dalam menangani kandungan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata, tuntutan ganti rugi berkenaan bertujuan mendapatkan pampasan terhadap penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan susulan dakwaan kegagalan sistemik Google.
Katanya, tuntutan itu turut mengambil kira sifat dan kesan pelanggaran yang didakwa, selain bertujuan memastikan Google dipertanggungjawabkan serta mengelakkan ketidakpatuhan sama daripada berulang.
Bagi saman kedua, MCMC mendakwa Google gagal mengambil langkah sewajarnya di bawah undang-undang dan bertindak secara proaktif berhubung penerbitan semula kandungan di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang juga dikenali sebagai Papagomo.
Menurutnya, kandungan berkenaan didakwa melanggar undang-undang dan kini tertakluk kepada injunksi interim yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.
MCMC menegaskan semua penyedia platform media sosial yang tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perlu mematuhi segala kewajipan di bawah undang-undang dan syarat lesen masing-masing.
Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan menggesa semua penyedia platform media sosial mengambil langkah sewajarnya bagi menangani kandungan yang melanggar undang-undang dan memudaratkan di platform masing-masing.
Katanya, kedua-dua saman itu adalah sebahagian usaha berterusan MCMC untuk melindungi orang awam, khususnya kanak-kanak, daripada ancaman dalam talian serta membendung penyebaran kandungan yang sudah tertakluk kepada tindakan pengawalseliaan dan campur tangan mahkamah.



