
PUTRAJAYA – Anthony Loke masih bercuti daripada tugas sebagai Menteri Pengangkutan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memintanya berehat sementara waktu, susulan pengumuman peletakan jawatan lebih dua minggu lalu.
Anwar berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung DAP itu, namun belum menerima peletakan jawatannya.
“Saya belum terima peletakan jawatan, dia masih bercuti,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pengurusan tugas di Kementerian Pengangkutan sepanjang ketiadaan Anthony, Anwar berkata, tanggungjawab berkenaan akan dipikulnya buat sementara waktu.
Katanya, urusan pentadbiran kementerian itu turut dibantu Ketua Setiausaha dan Timbalan Menteri mengikut peraturan sedia ada.
“Tugas sekarang ini kalau ikut peraturan memang ada Ketua Setiausaha dan Timbalan Menteri, tetapi buat masa ini Perdana Menteri akan mengambil alih tugas itu buat sementara waktu,” katanya.
Pada 10 November lalu, Anthony mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Sehari selepas pengumuman itu, Anthony sekali lagi menegaskan keputusan melepaskan jawatan berkenaan dan menyampaikan ucapan perpisahan kepada pegawai Kementerian Pengangkutan.
Bagaimanapun, Anwar sebelum ini memaklumkan beliau mahu mengadakan perbincangan lanjut dengan Anthony berhubung keputusan berkenaan sebelum memuktamadkan perkara itu.



