
KOTA KINABALU – Politeknik Kota Kinabalu (PKK) membina 10 unit gerai sayur-sayuran menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi menyediakan kemudahan perniagaan lebih selesa dan selamat kepada penjaja kecil di Salut Commercial Center.
Projek yang bermula pada 11 November lalu itu dilaksanakan menerusi kerjasama PKK, Persatuan Penjaja Kecil Taman Salut dan Persatuan Penjaja Kecil Salut Commercial Center dengan sokongan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sdn Bhd, sebelum dirasmikan dan diserahkan kepada pihak Persatuan Penjaja Kecil Taman Salut oleh Pengarah PKK, Md Nor Abdul Halim, hari ini.
Pengarahnya, Md Nor Abdul Halim berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen PKK dalam memanfaatkan kepakaran TVET untuk membantu komuniti setempat, khususnya menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih kondusif kepada penjaja kecil.
“Projek ini bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada penjaja kecil, malah memberi peluang kepada warga PKK untuk menyumbang kepakaran dan kemahiran teknikal bagi memenuhi keperluan masyarakat.
“Projek berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa, membabitkan pembinaan 10 unit gerai sayur-sayuran bagi Fasa 1 dan empat unit gerai ikan bagi Fasa 2, dengan keseluruhan projek dijangka siap sepenuhnya pada awal Januari 2027,” katanya kepada wartawan TMP, pada Rabu.
Pelaksanaannya diterajui Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dengan penglibatan warga kerja daripada pelbagai jabatan dan unit serta pelajar PKK, sekali gus memberi pendedahan kepada mereka untuk mengaplikasikan kemahiran teknikal melalui pengalaman kerja sebenar.
Turut hadir Timbalan Pengarah Akademik PKK, Kamal Ali; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Muhammaddin Mohd Jair; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd Hanif Abd Rahman; Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Darman Pawali; Ketua Unit Kesukarelawanan, Ts Abdull Sulaiman Ismil; Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil, Sudirman Tahir; serta wakil KKIP Sdn Bhd, Salim Abidin.



