
KUCHING – Sarawak menyasarkan pelancaran nanosatelit pertama negeri berasaskan teknologi CubeSat menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan sektor angkasa dan aeroangkasa.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan sektor berkenaan merupakan antara bidang ekonomi masa hadapan yang berpotensi membuka peluang baharu dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan kepakaran tempatan.
“Agensi Angkasa Sarawak (SSA) akan memainkan peranan dalam menyelaraskan penyelidikan serta kerjasama industri bagi menyokong pembangunan teknologi satelit di negeri ini.
“Kita turut menyasarkan pelancaran nanosatelit pertama Sarawak berasaskan teknologi CubeSat menjelang tahun 2030, dengan Agensi Angkasa Sarawak (SSA) memainkan peranan dalam penyelarasan penyelidikan dan kerjasama industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Konvokesyen Ke-28 Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Selasa.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM1.5 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi melaksanakan Kajian Pelan Induk Pembangunan Angkasa dan Aeroangkasa Sarawak.
Menurutnya, kajian berkenaan bertujuan menyediakan hala tuju jangka panjang bagi pembangunan sektor tersebut, selaras dengan aspirasi negeri untuk memperkukuh penyertaan dalam industri berteknologi tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa teknologi satelit dan penderiaan jauh mempunyai potensi besar dalam pelbagai bidang, termasuk pemetaan, pemantauan alam sekitar, pengurusan sumber serta perancangan pembangunan.
Dalam pada itu, Abang Johari menekankan kepentingan pembangunan kepakaran tempatan bagi memastikan anak Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah berupaya mencipta dan membangunkan teknologi sendiri.
Menurutnya, institusi pengajian tinggi seperti TAHOTECH mempunyai peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.
“Saya berharap universiti ini dapat memperkukuh kerjasama dengan SSA, CENTEXS, institusi penyelidikan dan pihak industri bagi melahirkan tenaga pakar tempatan yang mampu menyertai sektor teknologi tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan bidang kejuruteraan aeroangkasa di TAHOTECH merupakan langkah strategik dalam menyokong usaha Sarawak memperluas keupayaan penyelidikan serta pembangunan teknologi.
Pada masa sama, Abang Johari berkata, perubahan teknologi global termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, semikonduktor dan analitik data menuntut Sarawak meningkatkan penguasaan ilmu serta kemahiran dalam kalangan tenaga kerja tempatan.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan melahirkan lebih ramai anak Sarawak yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengaturcaraan, sains data, keselamatan siber, kejuruteraan dan teknologi pintar.
Katanya, pembangunan teknologi juga perlu memberikan penyelesaian kepada keperluan sebenar masyarakat dan industri, termasuk dalam sektor pertanian, pengangkutan, perkhidmatan awam serta perusahaan kecil.
Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH itu turut meraikan seramai 597 graduan, sekali gus menandakan perkembangan baharu institusi berkenaan selepas memperoleh status universiti penuh.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)


