
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah meningkatkan peruntukan bantuan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam sebanyak RM20 juta kepada RM90 juta tahun ini, berbanding RM70 juta pada tahun 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peningkatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri memastikan bantuan pembangunan pendidikan dan institusi keagamaan secara adil tanpa mengira kaum dan agama.
“Kita mahu memastikan tiada sekolah yang daif daripada prasarana ilmu, dan tiada rumah ibadat yang terpinggir daripada menerima sokongan pembangunan daripada kerajaan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Negeri Sabah Tahun 2026 di Sutera Harbour Resort, di sini, pada Selasa.

Daripada keseluruhan peruntukan RM90 juta itu, sebanyak RM40 juta diluluskan untuk 320 sekolah yang memenuhi syarat permohonan, manakala RM50 juta disalurkan kepada 1761 badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.
Hajiji berkata, Kementerian Kewangan menerima 339 permohonan bantuan sekolah tahun ini dengan jumlah keseluruhan peruntukan dipohon sebanyak RM107.27 juta, membabaitkan lima kategori sekolah yang dibenarkan.
“Bagi badan keagamaan bukan Islam pula, sebanyak 1,810 permohonan diterima daripada tokong, kuil dan pelbagai denominasi gereja dengan jumlah peruntukan dipohon mencecah RM235.30 juta.
“Majlis penyerahan bantuan ini bukan sebuah majlis bermusim. Ini adalah tanggungjawab hakiki dan manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras pentadbiran kerajaan negeri hari ini.
“Kerajaan memahami keperluan memahami keperluan di peringkat akar umbi jauh lebih besar berbanding peruntukan sedia ada, namun bantuan disalurkan berdasarkan keutamaan, keperluan serta kemampuan kewangan negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendidikan kekal sebagai antara keutamaan kerajaan negeri kerana masa depan Sabah bergantung kepada kualiti generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
“Kita tidak mahu anak-anak kita dan generasi sekarang hanya menjadi penonton kepada pembangunan negeri. Kita mahu mereka menjadi generasi yang akan memimpin dan menentukan masa depan Sabah,” tegasnya.
Beliau berkata, pengiktirafan kerajaan negeri terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) turut membuka peluang lebih luas kepada pemegang sijil berkenaan untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Sabah, selain membolehkan mereka memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.
Menurutnya, langkah itu mencerminkan keterbukaan dan keyakinan kerajaan terhadap kepelbagaian aliran pendidikan yang wujud di negeri ini bagi melahirkan modal insan berkualiti, berilmu pengetahuan serta mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah.
Mengulas mengenai keharmonian masyarakat, beliau berkata kepelbagaian kaum, agama dan tradisi di Sabah bukan faktor perpecahan, sebaliknya menjadi kekuatan yang mengukuhkan perpaduan.
Tambahnya, semangat saling menghormati dan bermuafakat perlu terus dipelihara bagi memastikan Sabah kekal sebagai negeri yang maju, stabil dan harmoni serta memberikan ruang dan peluang kepada semua masyarakat.
“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendidikan, menyokong institusi masyarakat, menjaga keharmonian dan memastikan pembangunan negeri memberi manfaat kepada semua,” kongsinya.



