
KUALA LUMPUR – Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar perintah tahanan rumah yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, permohonan itu mencabar perintah tahanan rumah yang dikatakan dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64.
Menurut AGC, pihaknya sudah mengemukakan bantahan ketika pendengaran permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu pada 12 November lalu.
Bantahan berkenaan dibuat atas alasan keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar menerusi proses kehakiman atau bersifat non-justiciable.
AGC berkata, hujahan semua pihak berhubung perkara itu akan didengar pada 17 Mac 2027.
Dalam pada itu, AGC menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil.



