
KUALA LUMPUR – Kerajaan ketika ini masih belum mempunyai perundangan alternatif yang sesuai untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 (Akta 15), walaupun terdapat pelbagai pandangan serta bantahan terhadap akta berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri tidak bersetuju dengan Akta 15, namun mengakui belum ada perundangan alternatif yang boleh digunakan bagi menyelesaikan pertikaian, khususnya membabitkan isu hubungan antara kaum.
“Bila keputusan di era Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, memulakan ketegasan perihal ini kerana bagi pimpinan ketika itu, soal keharmonian kaum harus diutamakan.
“Sebab itu pimpinan Perdana Menteri kedua, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman sangat keras dan tegas dalam hal ini sehingga membawa kepada (penggubalan) Akta Hasutan.
“Banyak pandangan mengenai masalah Akta 15, termasuk saya. Namun, kita tidak ada penyelesaian ganti untuk menjernihkan hubungan antara kaum,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen PH Sungai Siput, S Kesavan yang meminta penjelasan sama ada terdapat jurang perundangan yang memerlukan campur tangan lebih menyeluruh, mengambil kira jumlah kes pendakwaan yang lebih rendah berbanding laporan polis.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan bahawa bantahan atau pandangan boleh dikemukakan berhubung kes tertentu tanpa mengira perbezaan latar belakang, bagi memperkasa integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ini saya setuju kerana ada persepsi ‘kita izinkan penghinaan kepada agama lain, tetapi menghalang penghinaan terhadap Islam’. Memang ada dalam kalangan kita dengar Ahli Parlimen begitu.
“Kalau kita betul-betul jaga keharmonian, jangan izinkan penghinaan ke atas mana-mana agama. Baru boleh negara ini selamat.
“Namun, jika kita dalam semua hal, termasuk dari segi undang-undang, mahu ikut anutan agama dan kaum masing-masing, saya tidak fikir kita boleh jamin keselamatan dan keharmonian negara,” katanya.
Beliau turut menggesa supaya siasatan terhadap kes berkaitan keharmonian kaum dijalankan secara telus, selain memberi ruang kepada pihak berkaitan mengemukakan bantahan sekiranya berlaku sebarang ketidakadilan.
“Saya tidak ada permasalahan kerana proses kadang-kadang, saya setuju, mengambil terlalu banyak masa. Kalau tengok konteks di Negeri Sembilan, berapa banyak bentuk penghinaan kepada institusi diraja.
“Ini serius, selain banyak membangkitkan mengapa ia dikecualikan dan tiada tindakan tegas. Jadi kadang-kadang kita lihat dari segi polemik kepartian, politik atau kaum.
“Kalau kita sepakat, umpamanya menghalang, jangan ada penghinaan agama. Agama apa pun kerana tidak akan menjadi jernih dan ini bukan keputusan baru,” katanya.



