Gambar hiasan
SHAH ALAM – Dua kereta mewah, Bentley dan Porsche, disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor selepas didapati tiada cukai jalan dan perlindungan insurans.
Kedua-dua kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan dalam Ops Luxury yang dijalankan di Lebuhraya Baru Lembah Klang dan Cyberjaya.
JPJ Selangor menerusi Facebook memaklumkan, Bentley dan Porsche berkenaan dibawa ke JPJ Padang Jawa untuk tindakan lanjut.
Operasi itu adalah usaha berterusan bagi memastikan pemilik dan pengguna kenderaan, termasuk kereta mewah, mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
JPJ Selangor turut menegaskan pihaknya akan terus memberi perhatian terhadap aduan orang awam serta menjalankan pemantauan berterusan bagi mengesan pelanggaran peraturan lalu lintas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan boleh menyalurkannya menerusi e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-Aduan dengan menyertakan butiran pengadu dan maklumat lengkap aduan.



