Gambar hiasan
KUANTAN – Seramai 1,110 pemancing menyertai usaha bersepadu mengawal populasi ikan asing invasif baung ekor merah menerusi aktiviti penangkapan serentak di tujuh lokasi di Pahang, yang bermula semalam.
Program Pahang 1st Tawan Baung Ekor Merah Fest sempena Hari Perikanan Sedunia 2026 itu merekodkan tangkapan 137 ekor ikan dengan jumlah berat 1.04 tan.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, program itu adalah pendekatan proaktif untuk mengurangkan populasi baung ekor merah yang mengancam keseimbangan ekosistem perairan darat dan kelangsungan spesies ikan tempatan.
“Ancaman spesies ikan asing invasif perlu ditangani secara berterusan bagi melindungi spesies ikan tempatan serta mengekalkan keseimbangan ekosistem akuatik,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, penyertaan 1,110 pemancing membuktikan komuniti mempunyai peranan penting dalam membantu kerajaan menangani ancaman berkenaan.
Program itu adalah kerjasama strategik Kerajaan Pahang dan Jabatan Perikanan Malaysia.
Berdasarkan keputusan keseluruhan, Tanjung Gahai, Lipis mencatatkan jumlah berat tangkapan tertinggi sebanyak 193.50 kilogram daripada 16 ekor ikan, diikuti Pekan dengan 191.44 kilogram daripada 23 ekor dan Kuala Krau, Temerloh dengan 182.38 kilogram daripada 30 ekor.
Bagi kategori ikan terberat, Tanjung Gahai muncul juara menerusi tangkapan seberat 23.32 kilogram oleh Muhamad Fauzi Ahmad.
Sementara itu, bagi kategori ikan terbanyak, Kuala Krau mendahului dengan 30 ekor, diikuti Jerantut Feri dengan 27 ekor dan Pekan dengan 23 ekor.
Adnan menegaskan ancaman spesies ikan asing invasif tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi mengganggu rantaian makanan, mencetuskan persaingan habitat dan mengancam kelangsungan spesies ikan tempatan.
“Jabatan Perikanan akan terus mempergiat usaha pemantauan dan kawalan populasi spesies ikan asing invasif di samping meningkatkan kesedaran orang ramai agar tidak melepaskan ikan asing ke perairan umum,” katanya.


