
PILIHAN Raya Umum ke-16 (PRU16) bakal menjadi penentu sama ada gabungan politik berasaskan nilai keadilan, amanah dan demokrasi mampu mempertahankan kuasa atau tumbang kepada gelombang politik berteraskan sentimen perkauman, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP tidak mempunyai ideologi tunggal, sebaliknya dibentuk berasaskan tiga nilai teras yang diperjuangkan parti komponennya.
Hassan berkata, gabungan ketiga-tiga parti itu berjaya membentuk kerajaan di beberapa negeri, termasuk Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, selain dua kali membentuk kerajaan Persekutuan menerusi PH 1.0 pada Mei 2018 hingga Februari 2020 dan PH 2.0 sejak November 2022.

Bagaimanapun, beliau berpandangan PH berdepan cabaran besar menjelang PRU16 yang dijangka berlangsung selepas Parlimen dibubarkan tahun depan.
“Ada tempoh setahun lagi hingga akhir tahun depan 2027, sebelum Parlimen dibubar dan PRU-16 diadakan untuk menentukan sama ada PH yang tidak ada ideologi tunggal.
“Melainkan menggabungkan jenama politik berasaskan nilai dapat bertahan untuk menjadi kerajaan Persekutuan selepas PRU-16 atau terpaksa tumbang dihanyutkan oleh gelombang biru-hijau yang membawa politik berasaskan perpaduan kaum iaitu perpaduan Melayu?” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Beliau turut mengkritik naratif perpaduan Melayu-Islam yang dikaitkan dengan kerjasama UMNO dan PAS, dengan mendakwa konsep itu bercanggah dengan ajaran Islam yang menentang fahaman perkauman sempit atau assobiah.
Hassan mendakwa perkembangan politik semasa, khususnya dalam tiga pilihan raya negeri di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, memperlihatkan kecenderungan Pas kembali bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan politik dan kuasa.
“Pas telah undur ke belakang, dari tujuan asal perjuangan yang jelas mengikut ajaran Islam tetapi kini mengambil jalan singkat untuk merujuk kembali ke pangkuan UMNO demi mencapai kemenangan politik pilihanraya dan dapat berkuasa jadi kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
“Bukan UMNO yang merujuk kepada Pas tetapi sebaliknya, Pas yang merujuk ke pangkuan United Malay National Organisation, sebuah parti politik aliran kanan berideologi kaum yang membawa dasar Assobiah yang berpuluh tahun selama ini ditentang oleh Pas sejak dari Presidennya ketika itu Dr. Burhanuddin Helmy.
“Jika pada tahun 1951, Pas, di waktu itu dalam rahim Umno sebagai embryo, dalam bentuk Biro Agama Umno telah keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Islam SeMalaya (Pas) pada tahun 1951.
“Tetapi 75 tahun kemudiannya, pada tahun 2026, ternyata Pas di bawah Presidennya Abdul Hadi Awang telah menyerah kalah dan kembali kepada UMNO, sebuah parti Melayu yang konservatif, aristokratik, elitis dan berideologi nasionalis kanan yang selama lebih 60 tahun sejak berkuasa telah gagal membebaskan Umat Melayu marhaen dari kemiskinan dan kemunduran sosio-ekonomi (melainkan sedikit kejayaan di zaman pentadbiran Allahyarhamah Tun Abdul Razak di bawah DEB),” katanya.

Beliau turut mendakwa Pas kini mengambil pendekatan politik yang berbeza daripada perjuangan presidennya terdahulu, Allahyarham Dr Burhanuddin Helmy, yang pernah meninggalkan UMNO untuk menubuhkan Parti Islam Se-Malaya (Pas) pada 1951.
Hassan juga melontarkan kritikan terhadap UMNO dengan menyifatkan parti itu sebagai berideologi nasionalis kanan serta mendakwa pentadbirannya selama lebih enam dekad gagal membebaskan sebahagian besar masyarakat Melayu daripada kemiskinan dan kemunduran sosioekonomi.
Dalam kenyataan sama, beliau mendakwa Pas sanggup berkompromi dengan isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah demi kepentingan politik, termasuk dalam isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, Tabung Haji dan FELDA.
Sehubungan itu, Hassan berkata rakyat bakal menentukan sama ada gabungan politik yang memperjuangkan nilai keadilan, amanah dan demokrasi untuk semua kaum akan terus diberi mandat atau digantikan dengan gabungan yang menurutnya berasaskan sentimen perkauman.
“Kuasa pada tangan rakyat. Rakyatlah yang akan dapat kerajaan yang dipilihnya sendiri,” katanya.


