
SHENZEN – Momen Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi bergambar pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-33 mencuri perhatian pengguna media sosial, yang menyifatkan interaksi itu sebagai penghormatan diberikan kepada pemimpin Malaysia di pentas antarabangsa.
Rakaman video yang memaparkan Trump menyapa Anwar ketika sesi bergambar rasmi itu tular dengan ramai netizen meluahkan rasa bangga dan teruja melihat kemesraan kedua-dua pemimpin berkenaan.
Seorang pengguna, @ksdzuma menyifatkan Trump yang terkenal dengan personaliti tegas dan ego tinggi dilihat lebih santai ketika berinteraksi dengan Anwar.
“Trump ni ego tinggi. Datang Malaysia hari tu pun kena beli hati dia dengan joget Melayu. Dia dah senang hati, mudah terima apa-apa rundingan daripada Malaysia.
“Dan orang ego tinggi ni amat susah nak hulur tangan. Tapi dengan Anwar? Terus jadi santuyy dia,” tulisnya di Threads.
Seorang lagi pengguna, taufik.w.h pula memuji pendekatan diplomasi Malaysia dalam mengendalikan kunjungan pemimpin dunia, termasuk Trump dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
“Trump datang dia ajak joget. Macron datang dia ajak tengok senibina negara. Memang ‘worldclass’ team PMX handle kunjungan dunia ke Malaysia. ‘Very user-centric” katanya.

Pengguna iznee.7 turut meluahkan rasa bangga melihat interaksi berkenaan, sambil menyifatkan momen itu sebagai sesuatu yang sukar dibendung daripada dikongsi.
“Ni kali ke-2 untuk hari ni as walanon aku proud. Tak boleh simpan dah,” tulisnya.
Dalam pada itu, seorang pengguna rosewiena menganggap suasana di Threads lebih positif berbanding platform lain yang didakwa dipenuhi kritikan terhadap Perdana Menteri.
“Cuba korang buka FB.. ramai yang mengutuk PMX.. kat Threads ni best. Semua sayang PMX,” katanya.

Selain itu, tular juga sebuah video yang memaparkan Anwar tergesa-gesa untuk ke lokasi seterusnya namun diminta berhenti untuk bergambar oleh sekelompok tetamu.
Pengguna sfxnjh menyifatkan situasi bergambar dan bersalaman seolah-olah bertemu selebriti.
“Masing-masing berebut nak ‘selfie’ dah macam jumpa selebriti,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, twtfres turut menarik perhatian terhadap keterujaan orang ramai, termasuk ahli akademik terkenal, Profesor Jeffrey Sachs yang dilihat menyertai kumpulan untuk bersalaman dengan Anwar.
Dia turut menyifatkan perkembangan itu sebagai mencerminkan kedudukan diplomasi Malaysia di peringkat antarabangsa, sambil berharap pendekatan berkenaan dapat diteruskan oleh kerajaan akan datang.


