Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN – Pahang menyasarkan semua 11 bandar utamanya menerima pengiktirafan Bandar Paling Mampan seawal tahun depan selepas menerima peruntukan RM2.1 juta daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu akan dimanfaatkan bagi membantu tiga bandar yang masih belum menerima pengiktirafan tersebut.
“Setakat ini lapan daripada 11 bandar utama di Pahang telah berjaya meraih Anugerah Bandar Paling Mampan 2026,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pahang Smart City 2026 dan melancarkan Blueprint Smart City Negeri Pahang 2040 di sini, hari ini.
Lapan PBT berkenaan ialah Majlis Perbandaran Bentong, Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja, Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Daerah Lipis, Majlis Daerah Bera, Majlis Daerah Jerantut, Majlis Daerah Raub dan Majlis Daerah Rompin.
Selain itu, Majlis Daerah Bera, Majlis Daerah Jerantut, Majlis Daerah Raub dan Majlis Daerah Rompin turut menerima pengiktirafan Smart City Early Adopter 2026.
Wan Rosdy berkata, Blueprint Smart City Negeri Pahang 2040 yang membawa aspirasi Pahang Pintar, Makmur dan Lestari akan menjadi panduan utama pembangunan bandar pintar di negeri itu sehingga 2040.
Blueprint itu menggariskan 14 dasar, 27 strategi dan 69 inisiatif bandar pintar untuk dilaksanakan kerajaan negeri, PBT, jabatan serta agensi berkaitan bagi memperkukuh kemampanan bandar dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Pengiktirafan ini membuktikan PBT di Pahang mempunyai keupayaan dan komitmen untuk bergerak ke arah pengurusan bandar yang lebih mampan dan pintar,” katanya.



