TAWAU – Dua beradik ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah kira-kira pukul 6.13 pagi di Taman Ria 11, di sini, pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, kedua-dua mangsa merupakan seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun.
“Kita terima panggilan pada 6.13 pagi dan kita terus membuat operasi dimana semasa dalam pengoperasi tersebut, terdapat enam orang mangsa iaitu 4 orang mangsa telah keluar atau berjaya selamatkan diri manakala 2 orang lagi telah terlibat dalam kebakaran.
“Pada 6.55 pagi, kita menemukan kedua-dua mangsa rentung dalam sebuah bilik iaitu bilik kedua di rumah terbabit, ” katanya ketika ditemui media, di lokasi kebakaran.
Menurut Jemishin, kemudahan pili bomba serta bekalan air yang tersedia di kawasan perumahan berkenaan turut membantu melancarkan operasi pemadaman selain menyelamatkan dua buah rumah bersebelahan.
“Seramai 16 anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan dengan bantuan beberapa agensi lain termasuk Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity, Jabatan Air dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” ujarnya.



