KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 akan meneruskan usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan taraf hidup rakyat menerusi pengukuhan bantuan, pengurangan cukai pendapatan bagi golongan layak serta penambahbaikan perkhidmatan awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ikhtiar berkenaan terus diperkasa agar setiap kemajuan ekonomi membawa makna kepada kesejahteraan rakyat, berpaksikan prinsip keadilan, ihsan dan kemanusiaan.
Katanya, matlamat tersebut berlandaskan Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang melepasi lima peratus pada suku ketiga 2026 dan diharap dapat dikekalkan bagi memastikan momentum pengukuhan ekonomi negara terus berterusan.
“Ekonomi negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat pertumbuhan 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, menjadikan pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak 5.6 peratus.
“Angka itu lebih tinggi berbanding 4.8 peratus yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar menyatakan kesyukuran terhadap ekonomi negara yang terus ampuh dengan pertumbuhan 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, menjadikan pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun ini mencecah 5.6 peratus, ketimbang 4.8 peratus bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Prestasi ini meletakkan Malaysia di landasan untuk mencatat pertumbuhan melebihi 5 peratus bagi tahun ketiga berturut-turut, sekali gus menyediakan asas yang lebih kukuh untuk mengangkat darjat dan harkat rakyat terbanyak,” katanya.
Jelasnya, meskipun dunia berdepan kemelut geopolitik dan cabaran ekonomi, Kerajaan MADANI tidak akan berganjak daripada iltizam melaksanakan reformasi.
“Kerajaan turut mengambil langkah proaktif bagi memelihara kestabilan ekonomi serta menjamin bekalan bahan api ketika krisis Asia Barat melanda,” ujarnya.
Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata ekonomi negara dijangka berkembang melebihi lima peratus bagi keseluruhan 2026, disokong prestasi eksport yang kukuh dan permintaan domestik berdaya tahan.
Beliau berkata, Malaysia juga berada pada kedudukan yang baik untuk memasuki 2027, disokong asas ekonomi yang kukuh serta prospek pertumbuhan positif.
Menurutnya, pertumbuhan eksport dijangka terus dipacu permintaan global terhadap produk berkaitan teknologi dan komoditi utama, selain sokongan sektor pelancongan serta perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Aktiviti pelaburan pula dijangka terus berkembang menerusi pelaksanaan projek jangka panjang sektor awam dan swasta serta realisasi pelaburan yang telah diluluskan.

