PUTRAJAYA – Gerakan ‘kudeta’ Barisan Nasional (BN) untuk menukar Menteri Besar Negeri Sembilan berakhir dengan kegagalan apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Datuk Ismail Lasim meneruskan tugas seperti biasa.
Penganalisis politik dan sosiopolitik, Dr Siti Maisarah Abd Rahman berkata, perkembangan itu membuktikan percaturan politik dimainkan BN sekadar terbantut di tengah jalan, meskipun pengumuman peletakan jawatan Ismail sebelum ini sudah dibuat oleh kepimpinan parti.
Menurut beliau, UMNO atau BN mempunyai hak menentukan pendirian politik termasuk mencadangkan calon baharu, namun parti tersebut tidak secara automatik boleh menamatkan kedudukan seseorang yang sedang memegang jawatan Menteri Besar.
“Justeru, apabila Ismail diminta meneruskan tugas seperti biasa selepas menghadap Tuanku Muhriz, ia menunjukkan bahawa proses menentukan kedudukan Menteri Besar masih berada dalam ruang dan bidang kuasa perlembagaan negeri.
“Dalam isu ini, persoalannya bukan sama ada UMNO mempunyai kuasa untuk menentukan kepimpinan partinya, tetapi sejauh mana keputusan politik parti boleh dianggap sebagai keputusan muktamad terhadap jawatan Menteri Besar yang tertakluk kepada peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Walaupun BN dan UMNO mempunyai perancangan untuk menukar kepimpinan, proses itu tetap perlu menghormati bidang kuasa Yang di-Pertuan Besar dan peruntukan perlembagaan negeri,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Menglus lanjut, Siti Maisarah berkata, UMNO perlu menjelaskan sama ada peletakan jawatan Ismail benar-benar keputusan peribadi pemimpin itu ataupun sebahagian daripada keputusan politik yang telah dirancang lebih awal oleh kepimpinan parti.
“Jika benar keputusan itu dibuat secara sukarela, penjelasan Ismail sendiri amat penting bagi menamatkan spekulasi. Jika terdapat tekanan politik, perkara itu juga perlu diperjelaskan kerana ia melibatkan prinsip akauntabiliti kepimpinan parti terhadap wakil rakyatnya.
“Tambahan pula, apabila timbul dakwaan mengenai penggunaan surat peletakan jawatan yang ditandatangani lebih awal dengan butiran kosong oleh calon pilihan raya, perkara itu wajar diberikan penjelasan secara terbuka oleh kepimpinan UMNO.
“Jika mekanisme sedemikian benar-benar digunakan, ia menimbulkan persoalan besar mengenai autonomi seseorang wakil rakyat dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil kepada pengundi berbanding kepatuhan kepada kepimpinan parti,” katanya.
Tambahnya, BN mungkin mempunyai perancangan untuk menyusun semula kepimpinan kerajaan negeri, tetapi perancangan politik itu tidak boleh dianggap selesai selagi proses perlembagaan belum dimuktamadkan selain perkembangan terbaharu memperlihatkan bahawa keputusan akhir bukan terletak pada pengumuman parti semata-mata.
“Perkembangan terbaharu menunjukkan bahawa BN belum berjaya merealisasikan pertukaran Menteri Besar seperti yang diumumkan, termasuk dakwaan parti itu bahawa Ismail telah meletakkan jawatan.
“Lebih penting, situasi ini boleh memberi kesan kepada imej BN kerana masyarakat sedang memerhatikan bagaimana parti itu menguruskan krisis kepimpinan negeri, khususnya apabila melibatkan institusi Raja,” katanya.

