SEREMBAN – Anak Menteri Besar Negeri Sembilan, Naim Ismail mempersoalkan tindakan Barisan Nasional (BN) mengeluarkan kenyataan berhubung peletakan jawatan bapanya, Datuk Ismail Lasim, sedangkan perkara itu didakwa belum dimuktamadkan.
Menerusi hantaran di Instagram, Naim mempersoalkan pihak yang mengeluarkan kenyataan berkenaan serta asas parti membuat pengumuman mengenai keputusan peletakan jawatan itu.
“Siapa yang keluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan sendiri yang membuat kenyataan tersebut? Kalau bukan atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?” katanya.
Beliau turut menegaskan bapanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu sejak awal mematuhi segala arahan dan keputusan parti, namun mempersoalkan tindakan yang didakwanya seolah-olah mahu menjatuhkan pemimpin sendiri.
“Dari awal segala arahan parti dipatuhi. Apa sahaja keputusan parti semuanya ikut. Tetapi akhirnya macam ni jadi. Belum apa-apa selesai dah ada usaha untuk menjatuhkan orang sendiri.
“Jangan kerana kepentingan pihak tertentu orang lain dijadikan kambing hitam. Kalau betul nak menjaga parti, jangan sampai orang sendiri diperlakukan macam ni. Semua orang tahu apa yang berlaku. Jangan buat seolah-olah hanya satu pihak yang bersalah,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengumumkan Ismail meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar menerusi kenyataan di media sosial.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan hari ini memaklumkan pihaknya belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan berkenaan.
Istana turut menjelaskan bahawa mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ismail dijadual menghadap Tuanku Muhriz pada jam 10 pagi, Jumaat ini.


