SEREMBAN – Tidak ada tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membubarkan Parlimen secara mengejut dalam waktu terdekat.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tempoh penggal pentadbiran kerajaan Persekutuan masih belum berakhir.
“Saya ingat kita tunggu. Sesi Parlimen ini ada waktunya. Jadi tidak ada tekanan untuk membuat apa-apa pembubaran secara mengejut,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Warda Nasional di sini, hari ini.
Menurutnya, perkembangan ekonomi negara ketika ini menunjukkan momentum yang baik, termasuk dalam aspek kewangan dan perindustrian.
Justeru, katanya, tiada sebab untuk Parlimen dibubarkan, melainkan berlakunya sesuatu perkara yang mendesak pembubaran segera.
“Kecuali jika ada sesuatu drastik yang berlaku. Kalah menang pilihan raya itu biasa saja. Hari ini mereka (BN-PN) menang, mungkin esok kita pula,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kerajaan di bawah pentadbiran Anwar menunjukkan prestasi yang membanggakan, malah setiap kementerian berusaha melakukan yang terbaik.
Tambahnya, rakyat perlu diberi kebebasan membuat pilihan dan pertimbangan parti yang terbaik memimpin kerajaan.
“Biarlah rakyat membuat pertimbangan. Tetapi kalau kita telah meracuni pemikiran rakyat dengan mengatakan jika menyokong PH bersama DAP, maka Cina akan mendominasi, itu satu racun yang kita tidak boleh terima.
“Kita boleh melakukan apa sahaja dalam persaingan politik, tetapi jangan sampai memasuki garis permusuhan, perseteruan dan kebencian kerana perkara itu sangat ditentang dan tidak dianjurkan oleh Islam,” katanya.

