
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berharap kepercayaan itu dapat digalas dengan penuh tanggungjawab demi memastikan kesejahteraan negeri dan rakyat terus terpelihara.
“Tahniah kepada Barisan Nasional atas mandat yang diberikan rakyat Melaka, semoga amanah ini digalas dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan negeri dan rakyat.
“Penghargaan kepada seluruh pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi, serta jentera dan semua calon Pakatan Harapan yang telah bekerja keras,” katanya menerusi Facebook malam tadi.
Menerusi kenyataan di media sosial, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi yang menunaikan tanggungjawab demokrasi, selain jentera serta semua calon Pakatan Harapan (PH) yang bekerja keras sepanjang kempen pilihan raya.
Menurutnya, semua pihak kini perlu melangkah ke hadapan dengan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding perbezaan politik.
Beliau turut memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka bagi memacu pembangunan serta menjamin kesejahteraan seluruh rakyat.



