
KUCHING – Amalan semak dan imbang dalam politik Sarawak tidak seharusnya dianggap sebagai serangan terhadap kerajaan, sebaliknya mekanisme penting untuk memastikan dasar dan keputusan pentadbiran sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, peranan semak dan imbang membolehkan keputusan kerajaan dinilai secara konstruktif, selain membuka ruang kepada cadangan penambahbaikan demi kepentingan negeri.
“Kewujudan pandangan berbeza antara kerajaan dan pembangkang bukan bermaksud semua dasar kerajaan perlu ditentang,” ujarnya.
Sebaliknya, beliau berpandangan kedua-dua pihak mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan pembangunan Sarawak dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Media yang turut dihadiri Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen pada Jumaat.
Dr Kelvin berkata, kepelbagaian politik wajar dilihat sebagai sebahagian daripada kekuatan Sarawak, sebagaimana masyarakat negeri ini yang terkenal dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.
“Kepelbagaian tersebut tidak seharusnya terbatas kepada latar belakang masyarakat semata-mata, malah perlu merangkumi kebebasan mengemukakan idea, pandangan dan cadangan dasar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perbezaan pendapat tidak semestinya membawa kepada perpecahan, sebaliknya boleh membantu kerajaan menilai sesuatu keputusan daripada pelbagai sudut.
Sehubungan itu, Dr Kelvin berharap semua pihak dapat mengutamakan kepentingan rakyat dan masa depan Sarawak meskipun mempunyai pendekatan politik yang berbeza.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan kepentingan media yang bebas dan bertanggungjawab dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat ketika berdepan perubahan pesat landskap komunikasi.
Menurutnya, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan media sosial semakin meningkatkan cabaran untuk membezakan maklumat benar daripada kandungan yang mengelirukan.
Beliau berkata, keadaan itu menuntut pengamal media supaya terus mempertahankan integriti dan prinsip kewartawanan, khususnya dalam menghasilkan laporan berasaskan fakta.
Kelvin turut mengiktiraf peranan podcast sebagai platform perbincangan awam yang semakin mendapat perhatian masyarakat.
Beliau mengambil contoh podcast Tuak Talk yang membuka ruang perbincangan kepada pelbagai pihak, termasuk wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti pembangkang.
“Keterbukaan sedemikian penting bagi menggalakkan pertukaran pandangan serta memberikan peluang kepada masyarakat menilai sesuatu isu secara lebih menyeluruh,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Kelvin merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas komitmen menyampaikan maklumat kepada masyarakat, khususnya ketika industri kewartawanan berdepan perubahan teknologi dan tekanan kerja yang semakin mencabar.


