
KUCHING – DAP Sarawak sedang berusaha mendapatkan persetujuan sekurang-kurangnya seorang individu Generasi Z (Gen Z) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, namun pencalonannya masih belum dimuktamadkan.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, individu berkenaan telah menunjukkan minat untuk menceburi bidang politik tetapi masih memerlukan dorongan dan keyakinan sebelum membuat keputusan untuk bertanding.
“Saya sedang berusaha meyakinkan individu tersebut, yang berkemungkinan seorang wanita, supaya mempertimbangkan peluang menjadi calon pada pilihan raya negeri kali ini,” ujar Chieng Jen.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sebarang pengumuman hanya boleh dibuat selepas mendapat persetujuan serta pengesahan mengenai kesediaan dan komitmen individu terbabit.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Stampin dan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Media di Kuching pada Jumaat.
“DAP turut berhasrat menampilkan barisan calon paling muda berbanding parti-parti lain yang bertanding pada PRN Sarawak kali ini.” katanya lagi.
Beliau berkata, langkah mengetengahkan generasi muda merupakan sebahagian daripada usaha parti memberikan ruang kepada golongan berkenaan untuk terlibat secara langsung dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan.
“Suara anak muda tidak seharusnya hanya diwakili pemimpin daripada generasi lebih berusia kerana Gen Z mempunyai pandangan dan perspektif tersendiri mengenai pentadbiran kerajaan serta masa depan negara,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap penyertaan calon Gen Z, sekiranya direalisasikan, dapat menggalakkan lebih ramai anak muda melibatkan diri secara aktif dalam politik.
Chieng Jen berkata, golongan muda perlu memahami bahawa politik bukan sekadar berkaitan parti atau pilihan raya, sebaliknya mempunyai pengaruh langsung terhadap kehidupan seharian mereka.
“Keputusan kerajaan berkaitan ekonomi, peluang pekerjaan, alam sekitar dan pembangunan turut menentukan persekitaran kehidupan serta masa depan generasi muda,” ujar beliau.
Justeru, beliau berpandangan penyertaan Gen Z dalam politik penting bagi memastikan pandangan dan keperluan generasi berkenaan mendapat perhatian dalam proses pentadbiran.
Dalam pada itu, Chieng Jen menjelaskan bahawa DAP Sarawak masih belum bersedia mengumumkan senarai calon rasmi untuk PRN ke-13.
Beliau berkata, meskipun parti itu telah membuat persediaan menghadapi pilihan raya, pemilihan calon perlu melalui proses pertimbangan sebelum sebarang keputusan diumumkan.
Sementara itu, Chieng Jen menjelaskan bahawa Majlis Malam Media berkenaan telah dirancang beberapa bulan lebih awal bersama Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.
Katanya, majlis tersebut bertujuan menghargai peranan pengamal media dalam suasana santai sebelum masing-masing menghadapi jadual tugasan yang semakin padat menjelang pilihan raya negeri.
l
l


