PUTRAJAYA – Kerajaan menyalurkan bantuan bulanan kewangan berjumlah RM601 juta kepada penerima Bantuan Warga Emas (BWE), manakala RM116 juta kepada penerima Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dalam tempoh lapan bulan sejak awal tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata bantuan itu disalurkan kepada lebih 151,000 penerima BWE dan hampir 29,000 penerima BPT dalam usaha membantu mengekalkan golongan berkenaan bersama keluarga.
Beliau berkata, kementerian berpegang dengan pendirian bahawa penjagaan terbaik kepada warga emas adalah bersama keluarga.
Oleh itu, katanya kementeriannya sentiasa memberi penekanan kepada prinsip Penjagaan Berasaskan Keluarga dan menerapkan konsep Penuaan Setempat.
“Dalam hal ini, kerajaan melalui Dasar Warga Emas Negara berusaha untuk memberi sokongan kepada keluarga dan masyarakat untuk menjaga ibu bapa mereka yang sudah berumur di tempat yang selesa bagi menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup warga emas,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan langkah diambil bagi membolehkan warga emas menua di tempat mereka memandangkan Bank Dunia menjangkakan Malaysia mencapai taraf negara tua pada 2044.
Nancy berkata bagi membantu warga emas yang hidup bersendirian di rumah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut melaksanakan Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR).
Beliau berkata menerusi program itu, sukarelawan KBDR akan melawat dan membantu daripada segi keperluan harian seperti mengemas rumah, membeli barang keperluan asas dan menemani warga emas dalam urusan janji temu di hospital.
Katanya, ketika ini, lebih 6,000 warga emas menerima manfaat daripada program berkenaan membabitkan hampir 2,300 orang sukarelawan KBDR.





