RAKYAT Melaka diingatkan supaya tidak menjadikan sentimen politik dan nostalgia terhadap pemimpin tertentu sebagai alasan untuk mengetepikan prinsip integriti, khususnya menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri Melaka esok.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak seharusnya disalah tafsir sehingga beliau diangkat sebagai wira negara.
Menurutnya, Najib telah disabitkan oleh mahkamah atas kesalahan berkaitan rasuah dalam kes SRC International membabitkan wang RM42 juta.
“Pengampunan dan perubahan tempat menjalani hukuman tidak memadamkan sabitan mahkamah, apatah lagi menjadikan seseorang secara automatik sebagai wira negara.
“Kita boleh memaafkan, tetapi jangan sampai memadamkan pengajaran sejarah. Kita boleh bersimpati, tetapi jangan sampai menggadaikan prinsip,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mahfuz turut menyindir sikap parti-parti politik yang didakwa semakin selektif dalam memperjuangkan prinsip integriti apabila berhadapan dengan kepentingan politik dan hubungan sesama rakan gabungan.
Beliau mempersoalkan pendirian Pas yang selama ini lantang membawa slogan antirasuah, namun perlu menjelaskan konsistensi prinsip berkenaan apabila berhadapan dengan tokoh politik yang pernah disabitkan kesalahan.
“Jangan gunakan agama untuk menghukum lawan, tetapi gunakan kepentingan politik untuk memaafkan kawan.
“Integriti bukan prinsip bermusim. Ia tidak boleh berubah mengikut siapa yang menjadi kawan atau siapa yang menjadi lawan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, rakyat Melaka perlu berfikir jauh tentang mesej moral yang bakal diwariskan kepada generasi akan datang sekiranya seseorang yang mempunyai rekod sabitan mahkamah berkaitan rasuah diraikan sebagai wira politik.
Katanya, persoalan paling besar bukan sekadar siapa yang menang dalam pilihan raya, tetapi apakah nilai dan prinsip yang mahu ditinggalkan kepada anak cucu.
“Bayangkan suatu hari nanti anak-anak kita bertanya, mengapa kita mengangkat seseorang yang telah disabitkan kesalahan rasuah sebagai wira? Apakah jawapan yang akan kita berikan?
“Jangan biarkan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang mengajar bahawa kesalahan boleh dilupakan hanya kerana pelakunya mempunyai pengaruh politik,” katanya.
Beliau menegaskan Melaka sebagai negeri yang kaya dengan sejarah dan maruah tidak seharusnya menjadi medan menghidupkan semula budaya politik yang mengutamakan kuasa mengatasi integriti.
Sehubungan itu, Mahfuz menyeru pengundi supaya menggunakan pertimbangan akal dan hati nurani ketika membuat keputusan pada 14 November.
“Jangan gadaikan masa depan anak-anak demi menghidupkan semula politik masa lalu yang dikaitkan dengan kleptokrasi.
“Undilah dengan akal dan hati nurani, bukan semata-mata berdasarkan memori silam,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Mahfuz turut menyelitkan bait-bait puisi yang menggambarkan kekecewaannya terhadap budaya penipuan dan ketidakjujuran dalam kehidupan masyarakat.
“Si jujur menjadi mangsa, pandai menipu lekas berharta. Biarlah aku merana, aku tak rela hidup berdusta.”

