
DEBAK – Ibu bapa disaran menghargai setiap perkembangan dan usaha anak-anak, bukan hanya menilai mereka berdasarkan keputusan atau anugerah, kerana pendidikan awal turut memainkan peranan penting dalam membentuk keyakinan diri, disiplin dan sahsiah.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, setiap pencapaian kecil kanak-kanak perlu diberikan penghargaan sebagai dorongan untuk mereka terus membina potensi diri.
Menurutnya, setiap kanak-kanak mempunyai keistimewaan tersendiri sama ada dalam bidang akademik, kreativiti, komunikasi mahupun pembentukan nilai murni.
Beliau berkata, penghargaan terhadap usaha dan perkembangan mereka penting bagi meningkatkan keyakinan diri serta menyediakan asas kukuh sebelum melangkah ke peringkat pendidikan seterusnya.
“Majlis apresiasi seperti ini bukan sekadar acara penyampaian sijil dan anugerah, tetapi merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha, perkembangan dan pencapaian anak-anak sepanjang mengikuti pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Kanak-Kanak TASKA dan TABIKA KEMAS P.205 Betong di Dewan Perpaduan Debak, pada Jumaat.

Majlis berkenaan meraikan seramai 155 kanak-kanak daripada 43 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan tiga Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) KEMAS di kawasan Parlimen Betong.
Kanak-kanak terbabit terdiri daripada murid TABIKA berusia enam tahun dan kanak-kanak TASKA berusia empat tahun yang menerima sijil masing-masing.
Mohammad Razi berkata, majlis tersebut turut menandakan dua fasa penting perkembangan pendidikan awal, iaitu peralihan kanak-kanak TASKA ke TABIKA serta persediaan murid TABIKA untuk memasuki Tahun Satu.
Menurutnya, kedua-dua peringkat itu membuka ruang pembelajaran baharu yang membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran komunikasi, membina keyakinan diri dan menyesuaikan diri dengan persekitaran pendidikan yang berbeza.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Kanak-Kanak Terbaik Tahfiz yang mencerminkan kesungguhan mereka mempelajari serta menghayati ilmu agama sejak usia kecil.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan anak-anak dan keluarga, malah membuktikan bahawa pendidikan awal mampu memupuk minat terhadap ilmu, membentuk disiplin diri dan menyemai nilai murni sejak usia kecil,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Razi menegaskan bahawa kejayaan pendidikan awal kanak-kanak memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa dengan pendidik.
Menurutnya, tanggungjawab pendidik bukan sekadar mengajar kemahiran asas membaca, mengenal huruf dan nombor, malah turut merangkumi pembentukan keperibadian serta keyakinan diri.
Beliau berharap Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus memperkukuh penyediaan pendidikan awal yang berkualiti dan inklusif bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang mengembangkan potensi masing-masing.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri, serta wakil jabatan, pemimpin masyarakat, pendidik dan ibu bapa.



