
PADANG BESAR – Penganjuran Program Hasrat MADANI Parlimen Padang Besar memberi peluang kepada masyarakat Felda, khususnya golongan suri rumah, mendapatkan penerangan secara langsung mengenai pelbagai bantuan kerajaan, kemudahan digital dan inisiatif kerajaan.
Salah seorang peserta, Wan Azira Mat Isa, 49, berkata, program anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) itu membantu penduduk memahami dengan lebih jelas pelbagai inisiatif Belanjawan 2027 yang diumumkan kerajaan, termasuk bantuan persekolahan dan kemudahan yang boleh dimanfaatkan keluarga berpendapatan rendah.
“Program hari ini sangat membantu kami sebagai suri rumah kerana banyak penerangan diberikan mengenai Belanjawan 2027 dan kemudahan internet.
“Antara yang menarik perhatian saya ialah bantuan awal persekolahan anak-anak. Bantuan seperti ini memang membantu keluarga berpendapatan rendah membuat persiapan membeli kelengkapan sekolah,” ujarnya semasa ditemui pada program berkenaan di NADI Felda Mata Air, pada Khamis.

Suri rumah dari Felda Mata Air itu berkata, pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) and Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan disalurkan melalui Belanjawan 2027 itu akan turut membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah, terutama menjelang musim perayaan apabila keluarga perlu menyediakan pelbagai keperluan.
Dalam pada itu, Wan Azira berkata, kemudahan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut memainkan peranan penting dalam membantu penduduk, khususnya golongan suri rumah yang kurang mahir menggunakan teknologi digital untuk menyelesaikan urusan secara dalam talian.
“Sekarang hampir semua urusan menggunakan internet, termasuk mengisi borang. Apabila datang ke NADI, kami boleh mendapatkan penerangan dan bantuan tanpa perlu pergi jauh.
“Bukan sahaja menjimatkan masa, malah banyak kemudahan yang disediakan secara percuma,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Zuraidah Muhamad, 51, berkata, program berkenaan memberi peluang kepada penduduk memahami dengan lebih mendalam usaha kerajaan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat, selain mengetahui kaedah mendapatkan bantuan yang disediakan.
“Alhamdulillah, melalui program ini kita dapat mengetahui hasrat kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat. Kita sambut baik usaha seperti ini kerana banyak maklumat yang dapat dikongsikan kepada penduduk.
“Program seperti ini memang perlu diteruskan supaya masyarakat lebih memahami inisiatif yang disediakan kerajaan, termasuk cara memohon bantuan dan mengisi borang yang berkaitan,” kongsinya.
Zuraidah yang hadir bersama 10 rakan-rakannya yang juga surirumah berkata, penyampaian maklumat secara bersemuka amat penting, khususnya kepada masyarakat yang kurang mahir menggunakan telefon pintar atau mengakses perkhidmatan digital.

Beliau berharap program seumpama itu diperluaskan bagi memastikan lebih ramai penduduk luar bandar mendapat akses kepada maklumat yang tepat, khususnya berkaitan bantuan dan kemudahan kerajaan dan dijadikan acara tahunan.
Menurut Zuraidah, Felda Mata Air mempunyai kira-kira 249 rumah peneroka dengan jumlah penduduk dianggarkan melebihi 1,000 orang, menjadikan penyebaran maklumat mengenai bantuan kerajaan sesuatu yang perlu diberi perhatian.
Program anjuran JKOM itu turut mendapat kerjasama daripada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Felda Mata Air dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Perlis dan disertai hampir 50 orang peserta.



