Gobind Singh Deo
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicabar meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan, berbanding mendesak Parlimen dibubarkan lebih awal.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, menyifatkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada individu yang memegang jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran negara.
Beliau berkata, kuasa menentukan pembubaran Parlimen terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiada keperluan untuk perkara itu dibincangkan ketika ini.
“Kalau beliau tidak mempunyai keyakinan dengan pimpinan sesiapa, terpulang, beliau boleh meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Itu pilihan dia.
“Kalau UMNO dan BN tidak setuju serta tidak yakin, letak saja jawatan. Tidak perlu membuat desakan kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dan sebagainya,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Gobind yang juga Menteri Digital berkata, pemimpin UMNO dan BN perlu menghormati kedudukan Perdana Menteri memandangkan pelantikan mereka sebagai anggota Jemaah Menteri adalah atas budi bicara Ketua Kerajaan ketika ini.
“Mereka kena menghormati kedudukan Perdana Menteri. Pilihan mereka sebagai ahli Kabinet juga adalah susulan daripada keputusan Perdana Menteri, jadi hormatlah sedikit.
“Kalau tiada keyakinan, jangan minta Perdana Menteri untuk bubar (Parlimen). Kamu letak jawatan, senang saja,” katanya.
Dalam pada itu, Gobind berkata pentadbiran Kabinet ketika ini berada pada landasan tepat dan berfungsi dengan baik dalam mengemudi ekonomi negara ke arah yang lebih kukuh.
Katanya, meskipun negara lain berdepan pelbagai cabaran global, Malaysia kekal stabil dan terus menjadi destinasi pilihan utama pelabur asing serta industri perniagaan antarabangsa.
“Perdana Menteri menjalankan tugas dengan baik dan beliau kini membawa negara ke arah ekonomi yang lebih kukuh. Kita semua dapat melihatnya.
“Kita berada dalam ruang iaitu kita boleh dan harus melihat bagaimana untuk membawa negara ke hadapan. Justeru, tidak perlu untuk kita berbincang mengenai aspek pembubaran (Parlimen),” katanya.

