
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras insiden serangan membabitkan seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong.
Anwar berkata, sebarang bentuk jenayah dan keganasan, khususnya terhadap anggota penguat kuasa yang menjalankan amanah melindungi keselamatan rakyat, sama sekali tidak boleh diterima.
“Tindakan tegas mesti diambil terhadap sebarang perbuatan jenayah tanpa mengira siapa pelakunya demi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menjamin keselamatan anggota penguat kuasa yang bertugas,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Beliau menegaskan, keselamatan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas demi kepentingan rakyat perlu terus dipelihara dan sebarang perbuatan keganasan terhadap mereka tidak boleh dikompromi.
Beliau turut mendoakan agar anggota polis yang terlibat segera diberikan kesembuhan.


