KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepanjang menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, di sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagaimanapun sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Penjara bagi memastikan aspek keselamatan serta pematuhan terhadap ketetapan berkenaan terpelihara.
“Memandangkan rumah itu berada di bawah kawasan pentadbiran IPD Sentul, jadi saya telah mengarahkan IPD untuk melaksanakan pemeriksaan dan juga kawalan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM Tahun 2026, di sini pada Rabu.
Mohd Khalid berkata, PDRM turut menempatkan beberapa pegawai bagi membantu Jabatan Penjara sepanjang Najib menjalani baki hukuman di kediamannya.
Semalam, Najib mula menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pelaksanaan perintah berkenaan berkuat kuasa serta-merta.


