Gambar hiasan
DUNGUN – Taktik licik sepasang suami isteri menyamar sebagai anggota polis untuk memeras ugut seorang warga emas membawa padah apabila mereka dikepung dan ditangkap penduduk kampung di FELDA Rasau Kerteh 3, di sini, kira-kira jam 4 petang Ahad.
Menurut laporan Berita Harian, kejadian bermula apabila mangsa, Mariani Ismail, 64, menerima panggilan video daripada suspek yang menyamar memakai pakaian seragam pasukan keselamatan berlatarbelakangkan visual menyerupai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Mangsa yang panik dan ketakutan akibat diugut dengan dakwaan palsu, menyerahkan tiga utas barang kemas bernilai ribuan ringgit pada 6 November lalu.
Bagaimanapun, tindakan berani pasangan itu kembali ke rumah mangsa hari ini untuk menuntut wang tunai tambahan RM50,000 membuka ruang kepada mereka ditangkap.
Menyedari ditipu, Mariani membuat laporan polis, sekali gus membolehkan ahli keluarga dan penduduk kampung bersiap sedia mengesan pergerakan suspek.
Suami mangsa, Zakaria Ibrahim berkata, suspek pada mulanya enggan masuk ke dalam rumah dan mengarahkan wang RM50,000 diletakkan di dalam peti surat di hadapan rumah.
“Bagaimanapun saya mengumpan suspek dengan meminta mereka mengambil sendiri wang itu di dalam kereta,” katanya.
Strategi itu membuahkan hasil apabila kedua-dua suspek dikepung penduduk kampung yang sudah menunggu di perkarangan rumah mangsa.
“Dua suspek warga asing itu dipercayai sudah menggadai barang kemas isteri saya di sebuah kedai emas di Kuala Lumpur dengan nilai gadaian hampir RM13,000.
“Mereka kemudian dibawa ke IPD Dungun bagi membantu siasatan. Difahamkan suspek akan direman di Mahkamah Majistret Dungun esok,” katanya.


