
PAGI di Kampung Balik Bukit, Chuping, Perlis cukup mendamaikan. Di sebalik hamparan sawah yang terbentang luas, tersergam indah Bukit Chuping dengan wajah batu kapurnya yang melengkapkan panorama desa.
Angin pagi bertiup lembut menyapa dedaun padi, sementara cahaya matahari perlahan-lahan menyinari bendang, menghadirkan ketenangan yang semakin sukar ditemui dalam kesibukan kehidupan hari ini.
Namun, pagi itu suasana bendang sedikit berbeza. Gelak tawa dan suara riang kanak-kanak memecah kesunyian desa apabila 40 peserta cilik dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang turun ke sawah untuk merasai sendiri kehidupan sebagai pesawah.
Ada yang pertama kali menjejakkan kaki ke dalam lumpur, tidak kurang juga yang teruja memegang tangkai padi. Dalam keseronokan itu, mereka sebenarnya sedang mengenali perjalanan panjang sebutir padi sebelum menjadi nasi yang dinikmati setiap hari.

Pengalaman itu dilalui kanak-kanak berusia antara enam hingga 15 tahun menerusi program Junior Paddy Rangers yang berlangsung di Balbukhaus, Kampung Balik Bukit semalam.
Bukan sekadar bermain lumpur, peserta turut mempelajari kaedah tradisional mengusahakan sawah termasuk mengetam padi, meleraikan biji padi, menampi menggunakan nyiru serta menyaksikan sendiri proses menghasilkan beras.
Pelatih Edukasi program merangkap Pegawai Komuniti ECOPRO Training Centre Kebun Abi, Sakiinah Mahamad Hakimi berkata, program berkenaan bertujuan mendekatkan generasi muda dengan dunia pertanian menerusi pengalaman pembelajaran secara langsung di bendang.

Matlamat kami adalah supaya kanak-kanak bukan sekadar mengenali nasi sebagai makanan harian, tetapi memahami proses dan usaha pesawah untuk menghasilkan beras.
“Melalui pengalaman turun sendiri ke bendang, mereka juga dapat mengenali warisan pertanian tradisional serta menghargai kepentingan sektor pertanian dalam kehidupan,” katanya.
Program berkenaan dianjurkan bersama Balbukhaus, Kebun Abi (ECOPRO) dan Grass Malaysia Perlis dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perlis.
Menurut Sakiinah, peserta diberi peluang menuai padi menggunakan sabit keselamatan sebelum mempelajari kaedah tradisional meleraikan biji padi dan menampi menggunakan nyiru.
Katanya, mereka turut menyaksikan demonstrasi pemprosesan padi menjadi beras selain menghasilkan kraf orang-orang mini daripada jerami padi.

Keseronokan peserta tidak terhenti di situ apabila mereka turut berpeluang menangkap ikan menggunakan tangan atau lebih dikenali sebagai mengagau, selain mencuba serkap tradisional di petak sawah.
Aktiviti itu bukan sahaja menceriakan suasana, malah memperkenalkan cara hidup masyarakat kampung yang sejak dahulu begitu dekat dengan alam dan sumber makanan di sekeliling mereka.
Program yang bermula pada pukul 8 pagi itu turut dikendalikan Dr. Ku Norasyiqin Ku Amir dari Kebun Abi dengan bantuan sukarelawan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Selain aktiviti di bendang, peserta dan keluarga turut didedahkan kepada pameran berkaitan baja serta racun pertanian organik dan kimia, di samping perkongsian pengalaman usahawan tani muda.
Sementara itu, seorang peserta, Nur ‘Izzatul Hasanah Mohd Nasir, 14, berkata, pengalaman menyertai program berkenaan amat menyeronokkan kerana berpeluang mempelajari sendiri proses menghasilkan beras yang selama ini hanya dinikmati sebagai makanan harian.

“Kami belajar sendiri menuai, melerek atau menghirik, menampi dan proses lain sehingga beras terhasil. Selain itu, aktiviti mengagau ikan juga sangat menarik.
“Sekiranya ada lagi program sebegini, saya dan rakan-rakan pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyertainya,” katanya yang turut mengenakan busana tradisional kampung, iaitu baju kurung Kedah dan kain batik.
Menurutnya, keterujaan peserta semakin bertambah apabila Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat secara mengejut dan berkenan mencuba aktiviti yang disediakan.
Kehadiran baginda bukan sahaja menceriakan suasana, malah menjadi kenangan istimewa buat peserta yang berpeluang berkongsi pengalaman di bendang bersama Raja Puan Muda Perlis.
Di sebalik keseronokan sehari di bendang, terselit pengajaran bahawa setiap butir nasi yang terhidang di meja makan bukan datang dengan mudah, sebaliknya terhasil daripada usaha, keringat dan kesabaran mereka yang mengusahakan sawah.
Bagi 40 pesawah cilik itu, pengalaman di kaki Bukit Chuping mungkin hanya berlangsung sehari, namun kenangan dan penghargaan terhadap warisan pertanian desa pastinya akan terus dibawa pulang.


