Gambar hiasan
HULU TERENGGANU – Dua anggota polis cedera selepas kenderaan peronda yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik beberapa kali akibat mengelak sekumpulan monyet di Kilometer 4, Jalan Simpang Bukit Kepah-Tapah, Kampung Kepah, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemandu kenderaan, Muhammad Amirul Hafiz Ahmad, 26, patah tangan kiri, manakala penumpang, Khairil Azlan Abdul Latif, 44, mengalami kesakitan di bahagian rahang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kedua-dua anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu itu sedang menjalankan rondaan penguatkuasaan trafik.
Katanya, kenderaan jenis Honda City itu dalam perjalanan dari arah Simpang Kepah menghala ke Kuala Berang.
“Setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba sekumpulan monyet berada di tengah jalan.
“Pemandu bertindak mengelak ke kanan bagi mengelak melanggar haiwan tersebut, namun kenderaan hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik beberapa kali,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, kenderaan terbabit mengalami kerosakan pada keseluruhan bahagian, manakala permukaan jalan ketika kejadian basah berikutan hujan.
Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk rawatan lanjut.



