IPOH, 28 Jan -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama salah seorang penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ketika hadir pada program tersebut di Mydin Meru Raya, Ipoh hari ini.--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
PULAU GADONG – Bantuan jangan sekadar diberi, sebaliknya perlu ditambah baik supaya lebih ramai rakyat menikmati manfaatnya, dan itulah antara perubahan yang dilihat berlaku di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi Roslee Ibrahim, 50, meskipun berdepan cabaran kos sara hidup dan tekanan ekonomi global, usaha kerajaan memperluas bantuan serta menyasarkan subsidi kepada rakyat yang layak menunjukkan pentadbiran Anwar tidak mengabaikan kebajikan masyarakat.
Malah, beliau berpandangan bantuan yang diperkenalkan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kini ditambah baik melalui pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Kalau zaman Datuk Seri Najib dulu ada bantuan BR1M, tetapi zaman PMX ini dia menambah baik. Macam subsidi minyak, kalau dulu warga asing pun boleh guna, sekarang ini subsidi untuk warganegara Malaysia.
“Saya nampak apa yang PMX buat ini untuk membantu rakyat. Memang nampak perbezaan dan penambahbaikan dilaksanakan oleh beliau,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Sehubungan itu, Roslee berharap rakyat tidak hanya melihat sesuatu dasar berdasarkan persepsi atau sentimen politik, sebaliknya menilai usaha kerajaan berdasarkan manfaat yang diterima serta penambahbaikan dilaksanakan.

“Macam subsidi minyak, kalau dulu warga asing pun boleh guna, sekarang ni subsidi untuk warganegara Malaysia. Sebab kita pembayar cukai, warga asing tak bayar cukai.
“Sekarang ni dapat Budi Madani, RON95, diesel, untuk SARA, STR. Kita berdoalah harap ada rezeki PMX ni bersama untuk satu penggal lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Roslee berkata, pengundi perlu menilai calon berdasarkan rekod kerja dan kemampuan berkhidmat, bukannya terpesona dengan populariti parti atau kemunculan calon yang hanya aktif menjelang pilihan raya.
Beliau berpendapat, pengundi diharapkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan habuan sementara yang ditawarkan ketika kempen kerana kesannya jauh lebih panjang berbanding keseronokan menerima pemberian tersebut.
“Harap pengundi Klebang dan seluruh Melaka buat pilihan yang bijak. Mengundi ikut hati, jangan mengundi ikut emosi. Calon ada yang buat kerja, ada yang tumpang populariti parti, ada yang bermusim. Nak pilihan raya baru muncul, lepas pilihan raya hilang.
“Ingat duit RM50 atau RM100 boleh beli kita? RM50-RM100 satu jam pun dah habis. Pengundi kena bijak, biar kita bermaruah. Jangan terima gula-gula pilihan raya, dapat gula-gula satu hari, merana lima tahun,” katanya.


