
PASUKAN legenda Ex Pahang FA berjaya membalas dendam apabila menewaskan Ex Kelantan FA 2-1 pada aksi persahabatan di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad Tok Gajah membawa pulang wang tunai RM20,000 dan piala pusingan.
Tuan rumah membuka jaringan menerusi Mohd Shafie Zahari pada minit ke-39, sebelum bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan buat Kelantan pada minit ke-50.
Namun, Mohd Faizol Hussien muncul wira Pahang apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-59.
Perlawanan penuh nostalgia itu disaksikan lebih 16,000 penonton yang memenuhi Stadium Darul Makmur.
Antara bintang legenda yang beraksi ialah Azamuddin Akil, Razman Roslan, R Surendran dan Azizul Kamaluddin buat Pahang, manakala Kelantan dibarisi Badhri Radzi atau ‘Piya’, Nor Farhan Muhammad dan Mohd Daudsu Jamaluddin.
Pemain Ex Pahang, Azamuddin Akil atau Alex meluahkan rasa syukur kerana berjaya menebus kekalahan 2-1 di Kota Bharu pada Mei tahun lalu.
“Kami gembira dapat balas dendam dan berterima kasih kepada semua peminat yang hadir menyaksikan perlawanan ini,” katanya, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal yang menyampaikan hadiah kemenangan berkata, kehadiran ramai penonton membuktikan bola sepak masih mempunyai aura tersendiri.
“Kita dapat lihat aksi bekas pemain Pahang dan Kelantan yang cukup menghiburkan dan berbalas serangan,” katanya.



