BUKIT KATIL – Tanah pertanian di Melaka tidak sepatutnya terus menjadi ruang pengusahaan warga asing sehingga generasi muda tempatan berdepan kesukaran mendapatkan peluang menceburi sektor berkenaan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Datuk Seri Adly Zahari berkata, kerajaan negeri perlu campur tangan menyusun semula pengurusan tanah pertanian bagi memastikan peluang mengusahakan sektor itu diberikan keutamaan kepada rakyat tempatan.
Menurut beliau, keadaan terbabit perlu ditangani segera sebelum penglibatan warga asing dalam sektor pertanian menjadi semakin sukar dikawal sehingga menjejaskan peluang rakyat tempatan.
“Kalau kita tidak menyusun semula supaya memberi ruang kepada generasi muda, akhirnya pertanian ini bukan lagi menjamin kehidupan mereka, sebaliknya menimbulkan ketidakjaminan hidup kepada generasi muda.
“Kita mesti ingat, kitalah yang perlu menyusun perkara ini. Tidak boleh warga asing mengusahakan tanah di Melaka sehingga peluang untuk anak tempatan semakin terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Majlis Himpunan Semarak Tani @ Jualan Agro Madani Mega Melaka 2026 yang turut dihadiri oleh Menteti Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu menyediakan latihan, bantuan kewangan serta akses kepada tanah perlu disediakan dan diperluaskan bagi membolehkan rakyat tempatan, khususnya generasi muda menceburi bidang pertanian secara lebih tersusun.
“Jangan kita besok dah orang kata dah terlalu jauh eh dah terlajak dan kita dah tak boleh nak berpatah balik. Jadi, sebab itu kita kena susun dan kita kena pastikan bahawa pertanian ini mesti diberikan keutamaan kepada warga tempatan.
“Kita mesti menyusun daripada awal lagi. Sama ada latihan, sama ada pemberian tanah, termasuk agensi-agensi kerajaan mesti berupaya memantau persoalan-persoalan ini,” katanya.
Mengulas sama ada perkara itu akan dimasukkan dalam manifesto PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Adly berkata usaha mengupayakan tanah terbiar sememangnya antara aspirasi yang mahu diketengahkan gabungan berkenaan.
Katanya, tanah terbiar termasuk tanah wakaf perlu dimanfaatkan melalui tanaman yang sesuai dengan keadaan tanah dan mempunyai nilai ekonomi, sekali gus membuka peluang pendapatan kepada pengusaha tempatan.
Beliau berkata, kemampuan petani tempatan mengusahakan tanah berskala besar terbukti apabila terdapat pengusaha tanaman nanas di Masjid Tanah yang berjaya mengusahakan kawasan melebihi 100 hingga 200 ekar.
“Baru-baru ini saya pergi ke Masjid Tanah dan melihat sendiri kawasan yang diusahakan petani tempatan dengan tanaman nanas melebihi 100 hingga 200 ekar.
“Ini menunjukkan petani kita mampu berjaya jika diberikan tanah. Malah, perkara yang mereka minta ketika lawatan itu ialah supaya diberikan lebih banyak tanah untuk diusahakan,” katanya.
Adly berkata, kerajaan negeri mempunyai peranan penting dalam membuka peluang berkenaan memandangkan kuasa berkaitan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Justeru, katanya, pemetaan jumlah tanah terbiar, penyusunan semula penggunaannya serta pembukaan peluang kepada generasi muda perlu dilaksanakan supaya sektor pertanian Melaka dapat terus dimajukan oleh rakyat tempatan.
“Mereka memerlukan bantuan daripada kita yang boleh memberikan tanah kepada petani-petani kita adalah kerajaan. Terutamanya kerajaan negeri kerana kuasa tanah adalah kuasa kerajaan negeri.
“Jadi, kalau kita pantau, kita susun berapa banyak tanah terbiar dan kita buka peluang kepada generasi muda ataupun kita susun generasi muda untuk memajukan bidang pertanian, dan saya fikir generasi muda kita akan berjaya,” katanya.


