
SHAH ALAM – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarahkan segera mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha rumah sembelihan ayam yang beroperasi tanpa lesen.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, arahan itu diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dengan menyasarkan premis penyembelihan ayam yang tidak mempunyai lesen PBT serta tidak menggaji penyembelih bertauliah.
“Tindakan penguatkuasaan ini harus mengikut asas-asas perundangan yang berkuat kuasa, supaya premis-premis ini ditutup dan jika bersesuaian, dirobohkan sepenuhnya.
“Ini akan memastikan tiada bekalan ayam mentah tidak halal memasuki pasaran yang menjadi kebimbangan umat Islam di Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi menasihatkan orang ramai, khususnya umat Islam, supaya membeli ayam mentah atau ayam yang telah dimasak daripada premis yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sah keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Katanya, orang ramai boleh menyemak senarai premis yang mempunyai sijil halal sah menerusi portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my.
Masyarakat juga digalakkan menyalurkan maklumat atau membuat laporan kepada PBT dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekiranya mengesan premis penyembelihan ayam yang disyaki beroperasi tanpa lesen.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri komited memastikan bekalan ayam halal terus tersedia secara konsisten pada harga berpatutan untuk seluruh rakyat Selangor.


