
SHAH ALAM – Semua aktiviti pembangunan di Puncak Alam diarahkan dihentikan serta-merta susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membolehkan pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dikaji semula.
Katanya, setiap teguran rakyat terhadap agensi kerajaan perlu diterima secara terbuka dan dijadikan asas untuk memperbaiki usaha membantu mangsa serta mengelakkan kejadian sama berulang.
“Rakyat tidak mampu mendengar alasan daripada mana-mana agensi sekiranya banjir berlaku, sebaliknya mereka mahu hidup secara selamat tanpa perlu risau tentang keselamatan diri ataupun keluarga tersayang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerja mitigasi banjir berskala kecil dan besar di seluruh Selangor, khususnya di kawasan berisiko tinggi, perlu dipercepatkan tanpa terikat dengan jadual konvensional.

Beliau berkata, langkah itu penting memandangkan hujan dijangka berlaku hampir setiap hari ketika negara berdepan cabaran perubahan iklim.
“Budaya kerja mitigasi banjir perlu sepadan dengan cabaran yang sedang dihadapi agar sebarang kemudaratan kepada rakyat dapat dielakkan,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan negeri akan mempercepatkan penyaluran bantuan kepada mangsa banjir yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Amirudin berkata, kerja membaik pulih dan membersihkan rumah mangsa turut akan dipercepatkan menerusi kerjasama agensi kerajaan negeri serta Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI.
Menurutnya, bantuan sehingga RM1,500 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri akan disalurkan kepada mangsa yang ditempatkan di PPS bagi meringankan beban kewangan sepanjang tempoh kerja pembaikan.
Selain itu, amaran awal akan diberikan kepada pengguna jalan raya di kawasan berisiko mengalami kenaikan paras air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut diminta melaksanakan kerja pengalihan aliran air dengan segera, manakala semua agensi bertanggungjawab mempercepatkan penyelenggaraan longkang dan sungai tanpa sebarang kelewatan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin memaklumkan Jalan Batu Arang di Rawang akan ditutup sementara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) susulan kejadian runtuhan tebing bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan.


