
DALAT – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat, Datuk Seri Fatimah Abdullah menyatakan kesediaan untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sekiranya terus mendapat kepercayaan rakyat serta kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak itu berkata, kesediaannya untuk dicalonkan semula bergantung kepada kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Dalat serta kepimpinan parti.
“Jika rakyat Dalat, PBB dan GPS masih memerlukan saya, saya ingin menyatakan di sini, dengan kehadiran Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, bahawa saya bersedia menjadi calon bagi N.56 Dalat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat yang dirasmikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Kompleks Kebajikan Dalat, pada Ahad.
Fatimah yang mewakili kawasan berkenaan sejak 2001 turut mengingatkan jentera parti supaya tidak terlalu selesa dengan sokongan diterima, sebaliknya terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.
Menurutnya, DUN Dalat merekodkan kira-kira 18,650 pengundi berdaftar setakat September 2026, termasuk pertambahan pengundi muda berusia 18 tahun dan mereka yang didaftarkan secara automatik.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh jentera parti, termasuk sayap lelaki, wanita, pemuda dan belia supaya memperkukuh organisasi serta sentiasa mendekati masyarakat tanpa hanya menunggu musim pilihan raya.
“Kita tidak mahu masyarakat melihat jentera parti hanya muncul apabila pilihan raya semakin hampir. Sebaliknya, kita mahu rakyat merasakan bahawa kita sentiasa berada bersama mereka,” katanya.
Fatimah turut menegaskan bahawa tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat perlu diteruskan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
Pada PRN Sarawak 2021, beliau mempertahankan kerusi DUN Dalat dengan majoriti 6,625 undi selepas memperoleh 7,085 undi.
Beliau menewaskan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Salleh Mahali yang memperoleh 460 undi dalam pertandingan satu lawan satu.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)


