
“Daripada anak muda Tanjung Bidara, untuk masa depan Tanjung Bidara.”
Itu ungkapan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Yunazri Mustamiri.
Menyifatkan pencalonannya bukan sekadar peluang bertanding dalam pilihan raya, sebaliknya satu amanah dan tanggungjawab besar kepada masyarakat setempat.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada YAB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya untuk bertanding di DUN N.02 Tanjung Bidara.
“Anak muda Tanjung Bidara bukan ketandusan bakat atau idea. Mereka hanya perlukan ruang, peluang dan keyakinan untuk melangkah lebih jauh,” katanya menerusi media sosial.
Beliau turut menyuarakan hasrat untuk melihat Tanjung Bidara berkembang sebagai sebuah kawasan yang lebih maju dan mempunyai daya tarikan tersendiri, khususnya dengan memanfaatkan potensi kawasan pesisir pantai.
Menurutnya, potensi tersebut perlu diteroka dan dimanfaatkan sebaik mungkin supaya Tanjung Bidara berpeluang muncul sebagai antara destinasi pelancongan pesisir pantai yang membanggakan di Malaysia.
Mengakui perjalanan membawa amanah itu bukan sesuatu yang mudah, beliau percaya perubahan memerlukan keberanian untuk memulakan langkah serta komitmen berterusan.
Beliau turut menggunakan slogan ‘Tanjung Bidara Orang Kita’ sebagai mesej yang mengetengahkan identiti dan aspirasi masyarakat setempat.
Yunazri sebagai ‘underdog’ bertembung dengan penyandang, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan hari pengundian pada 14 November nanti.

