PAKATAN Harapan (PH) mempersoalkan rekod pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Melaka selepas isu kos sara hidup, bil air, perumahan mampu milik dan peluang pekerjaan terus dibangkitkan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengarah Pilihan Raya PH Melaka, Adly Zahari berkata, BN yang memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN 2021 perlu menjelaskan pencapaian sepanjang tempoh pentadbirannya sebelum meminta mandat baharu daripada pengundi.
Menurutnya, mandat besar yang diberikan rakyat sebelum ini perlu disusuli penyelesaian terhadap masalah harian penduduk, bukannya sekadar menawarkan slogan dan janji baharu.
“Mandat sebesar itu datang dengan tanggungjawab yang besar. BN perlu menjelaskan apa yang sudah diselesaikan dan mengapa keluhan ini masih dibangkitkan, bukannya kembali meminta kepercayaan seolah-olah baru hendak mentadbir Melaka,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena hari kedua kempen PRN Melaka, dengan jentera PH meneruskan usaha mendekati penduduk bagi mendapatkan maklum balas mengenai isu yang dihadapi mereka.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah kesukaran memiliki rumah, keperluan memperbaiki akses bantuan kebajikan serta peluang pekerjaan yang menawarkan gaji setimpal.
Peniaga kecil juga dikatakan berdepan tekanan kos sewa dan kekangan modal yang menyukarkan mereka meneruskan perniagaan.
Selain itu, isu banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan, kebersihan dan penyelenggaraan kemudahan awam turut menjadi perhatian PH.
Kenyataan itu turut mempersoalkan pengurusan Melaka Sentral, projek yang belum dimanfaatkan sepenuhnya serta keadaan lokasi pelancongan yang memerlukan perhatian dan tindakan sewajarnya.
“Papan tanda boleh ditukar dan slogan boleh diperbaharui, tetapi mutu perkhidmatan mesti membuktikan hasilnya,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, PH dijangka melancarkan manifestonya dalam beberapa hari lagi dengan memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik, peningkatan pendapatan, sokongan kepada usahawan kecil, kebajikan pelajar serta bantuan yang mudah diakses dan telus.
Dalam pada itu, pihaknya turut mengajak semua pihak berkempen dengan mengetengahkan penyelesaian terhadap masalah rakyat serta bersedia dinilai berdasarkan tawaran dan rekod masing-masing.
“Kuasa mentadbir bukan hak kekal mana-mana parti, dan pengundi tidak berhutang mandat kepada sesiapa,” ujarnya lagi.


