
SEPANG – Penganjuran Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bukan sahaja menghimpunkan peminat sukan permotoran, malah membuka peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada peniaga tempatan memperkenalkan produk dan jualan mereka kepada lebih ramai pengunjung sepanjang acara berkenaan.
“Seronok melihat sambutan para peminat yang turut mengambil kesempatan menikmati pelbagai juadah daripada 30 peniaga tempatan yang berniaga di sini.
“Selain menambah kemeriahan suasana MotoGP, inisiatif ini juga memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk memperkenalkan jualan mereka kepada lebih ramai pengunjung,” katanya selepas singgah di K2 Hillstand, SIC, bagi meluangkan masa bersama pemegang Tiket MADANI MotoGP.
Menurutnya, peluang seperti itu perlu dimanfaatkan bagi membantu memperluas pasaran peniaga kecil, khususnya menerusi penganjuran acara berskala besar yang menarik kehadiran orang ramai.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta semua pihak yang menjayakan inisiatif berkenaan.

